
PESTA KONVO UNISEL 2026 MERIAH, SEMARAK SAMBUTAN ISTIADAT KONVOKESYEN KE-20
September 25, 2026
Y.B. DANIAL AL RASHID LAKAR KEJAYAAN DI UNISEL, GENGGAM IJAZAH SARJANA PENDIDIKAN
September 26, 2026UNIVERSITI SELANGOR (UNISEL) RAI ISTIADAT KONVOKESYEN KE-20, PERKASA GRADUAN HADAPI CABARAN MASA HADAPAN
BESTARI JAYA, 26 September 2026 — Universiti Selangor (UNISEL) meraikan Istiadat Konvokesyen Ke-20 sebagai satu lagi detik penting dalam perjalanan universiti milik penuh Kerajaan Negeri Selangor dalam melahirkan graduan berilmu, berkemahiran dan berintegriti.
Istiadat yang berlangsung di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya menghimpunkan graduan daripada pelbagai peringkat pengajian bersama ibu bapa, ahli keluarga, warga universiti serta tetamu jemputan.
Istiadat turut diserikan dengan kehadiran Canselor UNISEL, Yang Amat Dihormati Engku Setia Lela Bestari Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj bersama Pro-Canselor UNISEL, Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Muhammad bin Ibrahim dan Yang Amat Dihormati Engku Sri Paduka Diraja Raja Dato’ Reza Alhaj bin Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UNISEL Sdn. Bhd., Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin bin Shari serta Presiden dan Naib Canselor UNISEL, YBhg. Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri.
Dalam ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor menyifatkan Istiadat Konvokesyen Ke-20 sebagai tanda kematangan UNISEL yang bukan sekadar berperanan sebagai institusi pengajian tinggi, malah menjadi aset strategik negeri dalam pembangunan modal insan, pengembangan ilmu serta melahirkan bakat yang diperlukan oleh ekonomi Selangor.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan pendidikan diterjemahkan menerusi Belanjawan Selangor 2026 apabila lebih RM136.2 juta diperuntukkan bagi memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan, yang merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri.
Daripada jumlah tersebut, RM17.378 juta diperuntukkan bagi menanggung 50 peratus yuran pengajian anak Selangor di UNISEL dan Universiti Islam Selangor yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,000 mahasiswa. Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Biasiswa Pendidikan Kita Selangor dengan peruntukan RM17 juta bagi membantu mahasiswa cemerlang melanjutkan pengajian dalam bidang strategik termasuk elektrik dan elektronik, sains hayat, kecerdasan buatan, kejuruteraan serta automasi.
Dalam mendepani perubahan dunia pekerjaan, beliau turut menggesa UNISEL supaya terus mempererat hubungan bersama industri dan masyarakat, memastikan program pengajian berkembang seiring keperluan semasa serta memperkukuh penyelidikan yang mampu memberikan penyelesaian kepada cabaran sebenar negeri dan rakyat.
Sementara itu, Canselor UNISEL, Yang Amat Dihormati Engku Setia Lela Bestari Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj dalam ucapannya menekankan bahawa graduan kini berhadapan landskap pekerjaan yang berubah pantas akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi, ekonomi digital, teknologi hijau serta perubahan model perniagaan. Justeru, graduan perlu memiliki bukan sahaja kelayakan akademik tetapi juga keupayaan berfikir, berkomunikasi, menyelesaikan masalah, menggunakan teknologi dan menyesuaikan diri.
Seiring perkembangan tersebut, UNISEL telah memperkenalkan kursus AI Generatif sebagai kursus wajib kepada semua pelajar dengan lebih 700 pelajar daripada kohort pertama telah menamatkan kursus berkenaan dan menerima Lencana Digital AI UNISEL.
Yang Amat Dihormati Engku Setia Lela Bestari Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj turut mengingatkan graduan supaya membina kemahiran sebelum mengejar jawatan, menguasai teknologi tanpa kehilangan nilai kemanusiaan serta mempertahankan integriti dalam membina kerjaya dan kehidupan.
“Ukuran sebenar kejayaan bukan semata-mata berapa tinggi kita naik, tetapi berapa ramai manusia yang kita bantu sepanjang perjalanan kita,” katanya dalam pesanan kepada graduan.
Istiadat Konvokesyen Ke-20 ini turut mencerminkan perjalanan UNISEL dalam memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi milik Kerajaan Negeri yang menghubungkan pendidikan dengan pembangunan ekonomi, industri dan kesejahteraan masyarakat.
Kerajaan Negeri berharap UNISEL terus diperkasa sebagai sebuah universiti yang mempunyai bidang tumpuan yang jelas, hubungan industri yang kukuh serta memberikan impak nyata kepada rakyat, dengan kejayaan universiti bukan sahaja dinilai melalui jumlah graduan tetapi turut berdasarkan mutu graduan, kekuatan penyelidikan dan sumbangannya dalam menyelesaikan cabaran negeri.
Istiadat Konvokesyen Ke-20 sekali gus menjadi simbol kesinambungan usaha UNISEL untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia memasuki dunia pekerjaan, malah mampu menjadi pemacu perubahan serta menyumbang kepada pembangunan Selangor dan Malaysia.
Muhammad Al-Hafiz Abd Rahaman
Pengarah
Jabatan Komunikasi Korporat
Universiti Selangor


























