
UNIVERSITI SELANGOR (UNISEL) RAI ISTIADAT KONVOKESYEN KE-20, PERKASA GRADUAN HADAPI CABARAN MASA HADAPAN
September 26, 2026BESTARI JAYA, 26 September 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Y.B. Tuan Danial Al-Rashid bin Haron Aminar Rashid, Ahli Dewan Negeri N41 Batu Tiga, atas kejayaan menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, sempena Istiadat Konvokesyen UNISEL Kali Ke-20.
Y.B. Tuan Danial memulakan pengajian di peringkat sarjana di UNISEL pada Julai 2023, di samping terus melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam menyantuni masyarakat.
Menurut beliau, perjalanan menyiapkan tesis bukanlah sesuatu yang mudah apabila masa pada sebelah siang banyak dimanfaatkan untuk bersama masyarakat, manakala penulisan tesis dilaksanakan pada waktu malam dengan sokongan serta bantuan daripada keluarga dan para pegawai yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang pengajian.
Menariknya, dengan latar belakang akademik dalam bidang Matematik, beliau memilih untuk mencabar diri dengan mendalami bidang Pendidikan, khususnya berkaitan pendidikan khas. Pilihan tersebut turut mempunyai kaitan rapat dengan peranan beliau sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS), sekali gus memberi ruang untuk beliau memahami dengan lebih dekat aspek pendidikan dan keperluan golongan orang kurang upaya.
Lebih bermakna, hasil kajian dan tesis yang dihasilkan diharapkan dapat memberikan manfaat kepada anak-anak istimewa di Selangor, serta menyumbang kepada usaha memperkukuh pemahaman dan pendekatan dalam bidang pendidikan khas.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar UNISEL terus melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing, selain menyatakan keyakinan terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh UNISEL sebagai universiti milik penuh Kerajaan Negeri Selangor.
Kejayaan beliau ini turut memperlihatkan bahawa tanggungjawab kepada masyarakat dan usaha menuntut ilmu dapat bergerak seiring, dengan pendidikan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkaya pengetahuan, pengalaman dan sumbangan kepada masyarakat.
Sekali lagi, seluruh warga Universiti Selangor merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Y.B. Tuan Danial Al-Rashid bin Haron Aminar Rashid atas kejayaan meraih Sarjana Pendidikan di UNISEL.
Semoga ilmu yang diperoleh terus memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi sebahagian daripada usaha membina masa depan pendidikan yang lebih inklusif untuk anak-anak istimewa di Selangor.
Tahniah, YB! Selamat bergelar ALUMNI UNISEL! 
ᴍᴜʜᴀᴍᴍᴀᴅ ᴀʟ ʜᴀꜰɪᴢ ʙɪɴ ᴀʙᴅ ʀᴀʜᴀᴍᴀɴ
ᴘᴇɴɢᴀʀᴀʜ
ᴊᴀʙᴀᴛᴀɴ ᴋᴏᴍᴜɴɪᴋᴀꜱɪ ᴋᴏʀᴘᴏʀᴀᴛ
ᴜɴɪᴠᴇʀꜱɪᴛɪ ꜱᴇʟᴀɴɢᴏʀ


















