
UNISEL PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DENGAN INSTITUSI CHINA
July 29, 2026
CIPTA KECEMERLANGAN ANDA BERSAMA UNISEL : SELAMAT DATANG MAHASISWA PROGRAM ASAS
August 6, 2026UNISEL SAMBUT KERJASAMA INOVASI SELATI : DRONEPORT-1000 TERAJUI EKONOMI ALTITUD RENDAH DI SELANGOR
BESTARI JAYA, SELANGOR — Universiti Selangor (UNISEL) menyambut baik penganjuran serta jalinan kerjasama strategik bersama Selangor Aviation & Technology Innovation (SELATI) menerusi pelancaran lembut Droneport-1000, sebuah tapak ujian dan penilaian yang direka khas bagi memacu Ekonomi Altitud Rendah (LAE) negara.
Inisiatif yang ditempatkan di UNISEL Kampus Bestari Jaya ini menjadi medan kolaborasi antara pihak kerajaan, akademik, dan industri dalam menyokong pembangunan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS), Mobility Udara Maju (AAM), serta teknologi dron generasi baharu untuk ruang udara di bawah 1,000 meter.
Penglibatan UNISEL dalam projek berimpak tinggi ini sekali gus mengukuhkan peranan institusi pengajian tinggi itu dalam memacu penyelidikan terpakai, pembangunan bakat tempatan, serta pengkomersialan teknologi aeroangkasa selari dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
𝘛𝘪𝘨𝘢 𝘛𝘦𝘳𝘢𝘴 𝘜𝘵𝘢𝘮𝘢 𝘋𝘳𝘰𝘯𝘦𝘱𝘰𝘳𝘵-1000
Tapak Ujian & Penilaian Kebangsaan: Menyediakan persekitaran terkawal untuk ujian operasi, integrasi sistem, dan validasi keupayaan teknologi dron serta perkhidmatan AAM masa hadapan (tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa).
Rangkaian Peribadi 5G: Menyediakan sambungan berprestasi tinggi dan ultra-low latency bagi menyokong komunikasi kawalan, penghantaran data masa nyata (real-time), dan penerbangan autonomi.
Pembangunan Kerangka Kawal Selia (Regulatory Sandbox): Membolehkan penggubal dasar dan pakar industri bekerjasama mewujudkan kerangka keselamatan dan perundangan yang responsif sebelum teknologi digunapakai secara meluas.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah, EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor. Dalam ucaptamanya, beliau menegaskan bahawa projek ini bukan sekadar pembangunan infrastruktur fizikal, sebaliknya satu pengisytiharan wawasan baharu Selangor.
"Hari ini kita bukan sekadar merasmikan sebuah bangunan atau jenama baharu, tetapi kita melancarkan satu ambisi baharu untuk Selangor iaitu ambisi untuk memimpin dan berinovasi. Ruang udara di bawah 1,000 meter bakal menjadi tumpuan dan bernilai tinggi seperti lebuh raya dan rangkaian digital kita hari ini," tegas beliau.
Beliau turut menambah bahawa kunci sebenar keunggulan teknologi terletak pada pemerkasaan modal insan dan keupayaan institusi tempatan seperti UNISEL. "Teknologi sahaja tidak mengubah masa depan sebaliknya manusia yang mengubahnya. Infrastruktur sahaja tidak mencipta inovasi akan tetapi bakat yang menciptanya. Droneport-1000 bukan sekadar tapak ujian, ia adalah batu loncatan (launchpad) untuk inovasi, pelaburan, dan pekerjaan bernilai tinggi. Masa depan dimiliki oleh mereka yang berani membinanya”, ujar beliau lagi.
Kerjasama ini turut disokong melalui program TILA (Technology Innovation & Learning for Aerospace) yang menggabungkan kepakaran penyelidikan UNISEL dan latihan teknikal daripada Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) bagi melahirkan jurutera dan usahawan teknologi penerbangan berdaya saing global.
Majlis pelancaran ini turut diseri dan disaksikan oleh barisan kepemimpinan utama kerajaan, akademik, dan pihak berkuasa industry antaranya Prof. Emeritus Ir. Dato' Dr. Hassan Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Pn. Zannifa Azura, Ketua Pegawai Eksekutif SELATI, En. Mohd Firdaus Ismail, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Selangor, Dr. Khalid Nor, Naib Presiden Kanan NAICO Malaysia, barisan pengurusan tertinggi UNISEL serta delegasi SELATI dan rakan media. Majlis dimulakan dengan sesi demonstrasi penerbangan dan penerangan tapak pengujian dan diakhiri dengan tinjauan Rooftop Testing Area.
HASRIL ABU HASSAN
PENGARAH KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
30 Julai 2026








































