
UNISEL PERKUKUH EKOSISTEM ILMU MELALUI KEPAKARAN TOKOH DAN ILMUWAN
September 10, 2026UNISEL MEMPERKUKUH LANGKAH KE ARAH UNIVERSITI LESTARI MELALUI FORUM SUSTAINABILITY AND ESG 2026
SHAH ALAM, 10 September 2026 – Kelestarian bukan lagi sekadar satu aspirasi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada hala tuju pembangunan institusi pendidikan tinggi. Menyedari kepentingan tersebut, Universiti Selangor (UNISEL) meneruskan langkah memperkukuh agenda kelestarian dan Environmental, Social and Governance (ESG) menerusi Forum Sustainability & ESG 2026, dengan kerjasama Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).
Penganjuran program ini semalam membawa satu mesej penting bahawa UNISEL mahu memastikan kekuatan yang dimiliki universiti dapat diterjemahkan kepada impak yang nyata dan boleh diukur.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, yang mengetengahkan komitmen universiti dalam memperkukuh agenda kelestarian sebagai sebahagian daripada pembangunan dan kecemerlangan institusi.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Puan TPr. Annie Syazrin binti Ismail, Ahli Lembaga Jawatankuasa Kelestarian MBI Selangor, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, yang mencerminkan sokongan dan komitmen strategik kerajaan negeri dalam memperkasakan agenda pembangunan mampan menerusi kerjasama bersama institusi pendidikan tinggi khususnya di Universiti Selangor (UNISEL).
Perkara tersebut turut dizahirkan menerusi sesi khas “UNISEL’s Sustainability Journey: Turning Campus Strengths into Measurable Impact” yang disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nor Suhaila Yaacob, Ketua Kelestarian UNISEL. Sesi ini mengetengahkan usaha universiti dalam membangunkan pendekatan kelestarian yang lebih tersusun serta berorientasikan hasil dan impak yang boleh diukur.
Lebih daripada sekadar perkongsian ilmu, Sustainability and ESG 2026 menjadi ruang untuk UNISEL mempertemukan ilmu, kepakaran, dasar dan tindakan dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
Perkongsian melalui syarahan utama oleh Dr. Wesam Al Madhoun, Founder, Global Ambassadors of Sustainability (GAoS) bertemakan “Transforming Knowledge into Action: Higher Education, Public Policy and Selangor’s Sustainable Future” pula mengangkat peranan institusi pendidikan tinggi dalam memastikan ilmu yang dihasilkan tidak terhenti di ruang akademik, sebaliknya dapat menyumbang kepada pembentukan dasar, penyelesaian isu masyarakat dan pembangunan masa hadapan.
Forum ini turut menampilkan YBhg. Datin Paduka TPr Noraini Roslan dan YBrs. Tuan Dr. Hariramalu a/l Ragavan, masing-masing sebagai Ahli Lembaga Jawatankuasa Kelestarian MBI Selangor, menerusi sesi Strategic Sustainability Presentations yang memberikan perspektif strategik terhadap agenda kelestarian dan ESG.
Dalam konteks Selangor, usaha ini memperlihatkan potensi UNISEL untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem ilmu yang menyokong aspirasi pembangunan negeri secara mampan, melalui penghubungan antara institusi pendidikan tinggi, kerajaan, industri dan masyarakat.
Justeru, Sustainability and ESG 2026 bukan sekadar sebuah forum, tetapi merupakan platform untuk UNISEL memperlihatkan kekuatan, membina jaringan strategik dan meneroka peluang baharu bagi menghasilkan impak yang lebih besar.
Daripada kampus kepada komuniti, daripada ilmu kepada tindakan, UNISEL terus melangkah untuk membina sebuah institusi yang bukan sahaja relevan dengan keperluan semasa, malah bersedia membentuk masa depan yang lebih mampan.
UNISEL | Membina Masa Hadapan, Mencipta Impak
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
11 September 2026




































