
UNISEL RAIH GERAN PENYELIDIKAN GET KPT : PERKUKUH KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN BERIMPAK TINGGI
July 10, 2026
AAK UNISEL FC JULANG KEJUARAAN LIGA FAS BAHAGIAN 1 2026
July 13, 2026UNISEL DAN INSTITUT TEKNOLOGI BANDUNG METERAI MOU PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN ASEAN
Universiti Selangor (UNISEL) melakar satu lagi pencapaian penting dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia, bersempena program Selangor Business Summit ASEAN @ Bandung yang berlangsung pada 9 Julai 2026.
MoU tersebut ditandatangani oleh Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, Presiden dan Naib Canselor bagi pihak UNISEL, manakala pihak ITB diwakili oleh Prof. Dr. Ir. Tatacipta Dirgantara, Rektor Institut Teknologi Bandung.
Majlis pertukaran dokumen MoU berkenaan turut disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, YB Tuan Ng Sze Han, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan & Perdagangan, Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu serta Mobiliti Selangor, H. Erwan Setiawan, Wakil Gabenor Jawa Barat, dan Muhammad Farhan, Wali Kota Bandung.
Kerjasama strategik antara UNISEL dan ITB ini memberi fokus kepada pengukuhan hubungan akademik, pembangunan ilmu serta peluasan peluang kolaborasi dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi di peringkat ASEAN.
Antara skop utama kerjasama yang dipersetujui menerusi MoU ini merangkumi Inbound Mobility Programs, Outbound Mobility Programs, Penganjuran Syarahan Umum, Penyelidikan Bersama, Penerbitan Ilmiah, Seminar, Persidangan dan Bengkel Bersama.
Menurut Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan UNISEL sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif membina jaringan antarabangsa serta memperluaskan peluang pembangunan akademik untuk warga universiti.
“Kerjasama bersama Institut Teknologi Bandung membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar dan warga akademik UNISEL untuk berkongsi kepakaran, menjalankan penyelidikan bersama serta menyertai pelbagai aktiviti akademik di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen berterusan UNISEL dalam memperkukuhkan hubungan strategik dengan institusi pendidikan tinggi terkemuka serantau, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing global serta memperkasakan ekosistem penyelidikan dan inovasi.
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
10 Julai 2026


















