
KULIAH DHUHA : MENJADI WANITA SETEGUH ASIAH
August 6, 2026
UNISEL HADIR MERIAHKAN MAJLIS PERASMIAN SUKMA XXII DAN PARA SUKMA SELANGOR 2026
August 15, 2026MAJLIS PELANCARAN DAN PENYERAHAN TAWARAN GERAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI PEMBANGUNAN NEGERI SELANGOR 2026 (SELIDIK 2026)
Tahniah dan syabas diucapkan kepada 38 orang ketua penyelidik Universiti Selangor (UNISEL) yang telah berjaya terpilih menerima tawaran Geran Penyelidikan dan Inovasi Negeri Selangor (SELidik 2026).
Majlis Simbolik penyerahan tawaran geran telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor serta disaksikan oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Ir. Dato' Dr. Hassan Bin Basri bersama barisan pengurusan tertinggi universiti bertempat di Foyer Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Geran Penyelidikan dan Inovasi Pembangunan Negeri Selangor (SELidik 2026), yang dilaksanakan di bawah Program Geran Khas Universiti Selangor (UNISEL), merupakan inisiatif khusus bagi menyokong pegawai akademik dan penyelidik UNISEL dalam melaksanakan penyelidikan yang berkualiti, berimpak tinggi serta memberi manfaat kepada pembangunan Negeri Selangor.
Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan dana berjumlah RM840,000 kepada UNISEL bagi memperkukuhkan ekosistem penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu di universiti.
Geran SELidik 2026 merangkumi empat kategori utama, iaitu Geran Penyelidikan Sains dan Teknologi (ST) dengan siling pembiayaan sehingga RM30,000, Geran Penyelidikan Sains Sosial (SS) sehingga RM20,000, Geran Pembangunan Komuniti (PK) sehingga RM15,000, serta Geran Sepadan dengan siling pembiayaan RM10,000.
Penetapan siling pembiayaan mengikut kategori ini merupakan satu pendekatan strategik bagi memperluaskan peluang penyertaan penyelidik sebagai Penyelidik Utama (Principal Investigator, PI), di samping membolehkan lebih banyak projek penyelidikan dilaksanakan.
Langkah ini dijangka meningkatkan penghasilan penerbitan, inovasi, pemindahan ilmu, jaringan strategik serta impak penyelidikan yang dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri, industri dan masyarakat.
Geran SELidik 2026 turut menjadi salah satu inisiatif penting Kerajaan Negeri Selangor dalam menggalakkan penghasilan penyelidikan yang berkualiti tinggi, inovatif dan berorientasikan penyelesaian isu-isu semasa negeri. Keutamaan pembiayaan diberikan kepada projek-projek yang menyokong enam teras utama Rancangan Selangor Kedua (RS-2), sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan dan agenda kemajuan Negeri Selangor.
Bagi tahun ini, sebanyak 38 projek penyelidikan telah diluluskan pembiayaan, melibatkan 15 projek dalam kategori Sains dan Teknologi (ST), 11 projek Sains Sosial (SS), 11 projek Pembangunan Komuniti (PK) serta 1 projek Geran Sepadan (SPDN). Keseluruhan projek tersebut melibatkan penyelidik daripada enam fakulti di UNISEL yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran dan disiplin penyelidikan.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen serta keupayaan penyelidik UNISEL dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti, relevan dan berimpak tinggi. Pada masa yang sama, ia memperkukuhkan peranan UNISEL sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri Selangor dalam menjayakan pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi, kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri melalui penyelidikan, inovasi serta pemindahan ilmu.
UNISEL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor atas kepercayaan dan sokongan berterusan dalam memperkasakan agenda penyelidikan universiti. Diharapkan pembiayaan melalui Geran SELidik 2026 akan terus menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelidikan yang berkualiti, inovatif dan berimpak tinggi demi manfaat negeri, negara dan masyarakat keseluruhannya.
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
10 Ogos 2026











































