
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM GOBAL EXCHANGE MALAYSIA (GEM) 03/2026 MERIAHKAN SUASANA ANTARABANGSA DI UNISEL
May 7, 2026TAN SRI DR. LIM WEE CHAI DILANTIK SEBAGAI PROFESOR KEHORMAT UNISEL: LONJAKAN STRATEGIK HUBUNGAN INDUSTRI DAN TVET
Universiti Selangor (UNISEL) secara rasmi telah melantik Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, YBhg. Tan Sri Dr. Lim Wee Chai, sebagai Profesor Kehormat universiti berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun bermula 5 Jun 2026 sehingga 4 Jun 2028.
Watikah pelantikan tersebut telah diserahkan secara rasmi dalam satu sesi Kunjungan Hormat yang penuh bersejarah oleh delegasi tertinggi UNISEL ke Menara Top Glove hari ini.
Kunjungan hormat ini diketuai sendiri oleh Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan bin Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, serta diiringi oleh Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Transformasi dan Jaringan Industri), Prof. Madya Dr. Dzulkarnain Ahmad serta beberapa delegasi UNISEL.
Pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf ketokohan luar biasa Tan Sri Dr. Lim Wee Chai dalam memacu Top Glove sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, malah ia mempunyai nilai sentimental yang amat tinggi. Beliau merupakan alumni terbilang UNISEL yang berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan pada majlis Konvokesyen Ke-10 UNISEL di Kampus Bestari Jaya pada tahun 2015 yang lalu.
𝘍𝘰𝘬𝘶𝘴 𝘕𝘪𝘭𝘢𝘪 𝘒𝘦𝘳𝘫𝘢: 𝘍𝘰𝘳𝘮𝘶𝘭𝘢 𝘒𝘦𝘫𝘢𝘺𝘢𝘢𝘯 '5 𝘈𝘮𝘢𝘭𝘢𝘯 𝘏𝘢𝘳𝘪𝘢𝘯' 𝘛𝘰𝘱 𝘎𝘭𝘰𝘷𝘦.
Dalam sesi perbincangan meja bulat yang berlangsung, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai menzahirkan rasa besar hati dan penghargaan yang mendalam atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak universiti; sambil berkongsi rahsia di sebalik keteguhan empayar perniagaannya, beliau lebih mengetengahkan kepentingan komitmen terhadap nilai-nilai kerja yang berintegriti serta penjagaan kesihatan yang holistik.
"Pihak Top Glove amat berbesar hati menerima kunjungan hormat dan pelantikan daripada pihak UNISEL ini. Bagi kami, kunci utama untuk mengekalkan kecemerlangan sama ada dalam dunia akademik mahupun industri korporat terasnya adalah berpaksi kepada nilai kerja yang konsisten. Kejayaan dan kesihatan tidak boleh dipisahkan; kita perlu mempunyai disiplin yang tinggi dalam menguruskan diri dan organisasi", ujar Tan Sri Dr. Lim Wee Chai.
𝘔𝘦𝘭𝘶𝘢𝘴𝘬𝘢𝘯 𝘚𝘢𝘺𝘢𝘱 𝘒𝘰𝘭𝘢𝘣𝘰𝘳𝘢𝘴𝘪 𝘚𝘦𝘬𝘵𝘰𝘳 𝘛𝘝𝘌𝘛 𝘥𝘢𝘯 𝘐𝘯𝘥𝘶𝘴𝘵𝘳𝘪.
Sementara itu, Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan bin Basri, dalam ucapannya menegaskan bahawa UNISEL berhasrat penuh untuk memanfaatkan kepakaran serta jaringan luas Top Glove bagi melonjakkan standard akademik universiti ke peringkat global.
Pelantikan ini disifatkan sebagai jambatan kukuh dalam merapatkan jurang antara menara gading dan realiti pasaran industri.
Beliau berkata, "UNISEL mahu meluaskan sayapnya dengan mencontohi dan mempraktikkan impak kejayaan Top Glove sebagai sebuah industri gergasi. Kami berhasrat untuk bergerak seiring dengan kehendak industri masa kini, terutamanya dalam memperkasakan sektor TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) selaras dengan agenda proaktif yang sedang digerakkan secara agresif oleh Kerajaan Negeri Selangor."
Beliau menambah, sinergi ini akan membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar dan pensyarah UNISEL dalam aspek penempatan latihan industri, penyelidikan gunaan bersama, serta pembangunan kurikulum berasaskan industri yang melahirkan graduan sedia kerja.
Di awal perbincangan strategik dan penyerahan watikah, delegasi UNISEL telah dibawa melawat ke seluruh fasiliti Menara Top Glove. Lawatan komprehensif ini memberikan pendedahan mendalam mengenai kepelbagaian portfolio perniagaan Top Glove yang kini tidak lagi terhad kepada pembuatan sarung tangan semata-mata, sebaliknya telah merangkumi pelbagai sektor industri lain termasuk hartanah, perkhidmatan penjagaan kesihatan, teknologi hijau dan pelbagai lagi.
Kunjungan hormat ini menandakan satu lembaran baharu dalam pakatan strategik antara UNISEL dan Top Glove yang dijangka bakal memberikan impak sosioekonomi yang besar kepada pembangunan modal insan dan inovasi industri di negeri Selangor terutamanya, dan Malaysia amnya.
HASRIL ABU HASSAN
PENGARAH KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
5 Jun 2026














































