
UNISEL JADI TUAN RUMAH PROGRAM SUARA MADANI : FORUM KENEGARAAN HIMPUNKAN 300 MAHASISWA
June 25, 2026
SEKITAR PROGRAM PAMERAN DAN PERTANDINGAN INOVASI I-TAFHIM 2024
July 9, 2026BESTARI JAYA – Universiti Selangor (UNISEL) terus memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan apabila Jabatan Antarabangsa UNISEL menganjurkan Majlis Penutup Program Global Exchange Malaysia (GEM) 04/2026, sekali gus menutup keseluruhan siri Program Global Exchange Malaysia (GEM) bagi tahun 2026.
Majlis yang berlangsung di Bilik Seminar Siddiq Fadzil, Perpustakaan UNISEL Kampus Bestari Jaya itu melibatkan penyertaan delegasi dan pelajar daripada Universitas Terbuka Indonesia (UTI) serta Universitas Persada Indonesia (UPI), selain warga UNISEL yang berperanan sebagai fasilitator dan buddies sepanjang program berlangsung.
Sebagai siri terakhir bagi tahun ini, GEM 04/2026 melambangkan kejayaan UNISEL dalam memperluaskan jaringan kerjasama akademik, memperkukuh diplomasi pendidikan serta membina hubungan strategik bersama institusi pengajian tinggi antarabangsa. Program ini turut memberi peluang kepada peserta mengikuti pelbagai aktiviti akademik, lawatan pendidikan, program kesukarelawanan, aktiviti kebudayaan dan penglibatan komuniti yang memperkaya pengalaman pembelajaran global serta mengukuhkan kefahaman rentas budaya.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Indonesia, bacaan doa serta ucapan daripada Koordinator Program, Pengarah Pejabat Antarabangsa UNISEL, Ketua Buddies dan wakil pelajar daripada UTI serta UPI yang berkongsi pengalaman sepanjang mengikuti program di Malaysia.
Menurut Pengarah Pejabat Antarabangsa UNISEL, Prof. Madya Dr. Hashimah binti Ismail, program ini membuktikan bahawa kepelbagaian budaya menjadi kekuatan dalam membina persefahaman, persahabatan dan kerjasama akademik yang berkekalan antara institusi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Antarabangsa, barisan buddies, pensyarah, sukarelawan, rakan strategik komuniti serta semua pihak yang menjayakan keseluruhan siri GEM 2026.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, penyampaian sijil penghargaan kepada Buddies UNISEL, peserta program serta Masjid Ar-Ridzuan, Kampung Bestari Jaya sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan sepanjang program.
Sepanjang empat siri penganjuran GEM 2026, UNISEL berjaya menghimpunkan peserta daripada pelbagai institusi luar negara sekali gus memperkukuhkan kolaborasi akademik, penyelidikan dan pertukaran budaya. Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan UNISEL dalam melahirkan graduan berdaya saing global serta memperluaskan kerjasama strategik yang mampu mengangkat nama universiti di peringkat antarabangsa.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari sebagai simbolik penutupan rasmi GEM 04/2026, sekali gus menjadi permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara UNISEL dan institusi pengajian tinggi antarabangsa pada masa hadapan.
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
8 JULAI 2026






















