
UNISEL JADI PILIHAN LOKASI PENGANJURAN KARNIVAL BRIDGED BAK MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2026
September 21, 2026
PESTA KONVO UNISEL 2026 MERIAH, SEMARAK SAMBUTAN ISTIADAT KONVOKESYEN KE-20
September 25, 2026SHAH ALAM, 24 September 2026 — Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menganjurkan Majlis Penyerahan Watikah Perisytiharan Pelantikan Canselor Universiti Selangor (UNISEL) sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap kepimpinan Y.A.D. Engku Setia Lela Bestari Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj sebagai Canselor UNISEL.
Majlis yang berlangsung di Bilik Gerakan, Tingkat 22, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah UNISEL Sdn. Bhd. serta barisan kepimpinan dan pengurusan tertinggi universiti.
Pemasyhuran tersebut mencerminkan kesinambungan kepimpinan dan kecemerlangan tadbir urus UNISEL, di samping memperkukuh hubungan erat antara universiti dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam mendukung agenda pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negeri.
Dalam ucapan alu-aluan, YBhg. Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan bin Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, menzahirkan penghargaan dan penghormatan kepada Y.A.D. Canselor atas kesinambungan kepimpinan beliau dalam menerajui institusi sebagai Canselor UNISEL.
Beliau menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan besar kepada institusi serta mencerminkan keyakinan terhadap kepimpinan Y.A.D. Canselor dalam meneruskan kecemerlangan dan memperkukuh hala tuju universiti.
Menurut beliau, pengalaman, kewibawaan dan kepimpinan Y.A.D. Canselor merupakan nilai penting dalam membantu UNISEL terus berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing, progresif serta dekat dengan aspirasi masyarakat dan Kerajaan Negeri Selangor.
Pelantikan Y.A.D. Canselor turut direkodkan dalam perkembangan rasmi UNISEL susulan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap penyambungan pelantikan beliau.
Sementara itu, Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UNISEL Sdn. Bhd., dalam ucapannya menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Y.A.D. Canselor serta menekankan kepentingan kesinambungan kepimpinan dalam memastikan UNISEL terus berada pada landasan yang kukuh.
Beliau turut menyatakan bahawa UNISEL mempunyai kedudukan penting dalam ekosistem pendidikan tinggi Selangor dan memainkan peranan dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negeri.
Dalam konteks pembangunan negeri, Kerajaan Negeri Selangor terus memberikan perhatian terhadap pembangunan institusi pendidikan tinggi milik negeri, termasuk UNISEL, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda pendidikan dan pembangunan modal insan Selangor.
Y.A.B. Dato’ Menteri Besar turut menekankan bahawa kekuatan sesebuah institusi bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, malah turut memerlukan kepimpinan yang berwibawa, tadbir urus yang baik serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran semasa.
Beliau berharap kesinambungan kepimpinan Y.A.D. Canselor akan terus memberikan nilai tambah kepada UNISEL, khususnya dalam memperkukuh kedudukan universiti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi milik penuh Kerajaan Negeri Selangor.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyerahan Watikah Perisytiharan Pelantikan Canselor UNISEL oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin bin Shari kepada Y.A.D. Canselor. Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan alu-aluan Presiden dan Naib Canselor UNISEL serta ucapan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor.
Selesai penyerahan watikah, para tetamu diraikan dalam jamuan tengah hari sebelum majlis bersurai pada jam 1.30 petang.
Pemasyhuran ini menjadi satu lagi detik penting dalam sejarah UNISEL dalam memperkukuh kesinambungan kepimpinan universiti serta iltizam bersama untuk membawa institusi ini terus maju seiring dengan aspirasi pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan Negeri Selangor.
Majlis ini turut berlangsung menjelang Istiadat Konvokesyen Ke-20 Universiti Selangor (UNISEL) yang akan diadakan pada 26 hingga 28 September 2026. Istiadat selama tiga hari itu bakal menjadi medan meraikan kejayaan para graduan setelah menamatkan pengajian, bersama ahli keluarga serta seluruh warga universiti.
Penganjuran Istiadat Konvokesyen Ke-20 ini bukan sahaja menjadi simbol pencapaian akademik para graduan, malah mencerminkan perjalanan dan komitmen berterusan UNISEL dalam melahirkan graduan berilmu, berketerampilan dan berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat, Negeri Selangor dan negara.
MUHAMMAD AL-HAFIZ ABD RAHAMAN
PENGARAH
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
24 September 2026






























