
WARNA-WARNI DUA HARI PERTAMA ISTIADAT KONVOKESYEN UNISEL KE 20
September 28, 2026
2,549 DRADUAN DIRAI, ISTIADAT KONVOKESYEN UNISEL KE-20 MELABUHKAN TIRAI PENUH GEMILANG
September 28, 2026BESTARI JAYA, 27 September 2026 – Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang hadir ke Universiti Selangor (UNISEL) semalam bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup GEMA Gempita Generasi MADANI 2026 "Temasya Seribu Cerita" yang berlangsung bersempena Pesta Konvokesyen UNISEL Ke-20.
Penganjuran GEMA Gempita MADANI 2026 menjadi antara pengisian yang memeriahkan Pesta Konvokesyen bersempena Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke-20 yang berlangsung pada 25 hingga 28 September 2026.
Program berkenaan menghimpunkan pelbagai aktiviti melibatkan mahasiswa, belia dan masyarakat, antaranya Policy Talk & Youth Forum, Mega Autoshow, Ceramah Motivasi “Jom Masuk U”, Malam Gema Selebriti, GEMA Bazaria, Himpunan Rasmi NGO, Karnival Agensi Kerajaan serta Sahabat MADANI.
YB Datuk Aaron dalam ucapannya bertemakan Malaysia MADANI dan Pembangunan Belia. Beliau menegaskan bahawa nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan perlu diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat, khususnya dalam usaha membentuk generasi muda.
Menurut beliau, pembangunan belia perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi pendidikan, pekerjaan, kemahiran, keusahawanan, kepimpinan, kesejahteraan dan pembentukan sahsiah. Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Rakan Muda, MyLesen B2 2026, SejaTi MADANI, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2026, K-Youth dan TVETPreneur. Belanjawan 2026 turut menetapkan sasaran 96 peratus kebolehpasaran belia lepasan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
Aspek kesukarelawanan turut diberi perhatian apabila Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) merekodkan 958 projek komuniti sepanjang 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 277,000 penerima, selain melahirkan 371 alumni baharu. Sementara itu, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) telah membantu lebih 12,000 anak muda Malaysia sehingga 2026 dengan nilai pelaburan sebanyak RM96.6 juta melalui biasiswa, bantuan kewangan dan program pembangunan kepimpinan.
YB Datuk Aaron juga turut menekankan peranan golongan belia dalam agenda pembinaan negara bangsa, termasuk keperluan melahirkan generasi yang mempunyai kematangan sivik, mampu berfikir secara kritis, memahami perbezaan serta bersedia berinteraksi secara konstruktif dalam masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysian Frontliners Foundation dan Maestro Events Communication Sdn. Bhd. atas jalinan kerjasama erat bersama Universiti Selangor (UNISEL) sekaligus berjaya mengangkat GEMA Gempita MADANI sebagai platform yang menghubungkan generasi muda dengan aspirasi negara dalam Pesta Konvokesyen UNISEL kali ini.
Penganjuran GEMA Gempita MADANI 2026 sepanjang Pesta Konvokesyen turut menyemarakkan kemeriahan Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke-20, di samping memperluas ruang penglibatan mahasiswa dan masyarakat dalam agenda pembangunan belia, kesukarelawanan serta perpaduan nasional.
MUHAMMAD AL-HAFIZ ABD RAHAMAN
PENGARAH
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
28 September 2026









































