
UNISEL TERIMA LAWATAN RASMI DELEGASI NANNING VOCATIONAL AND TECHNICAL UNIVERSITY (NVTU) CHINA, PERKASA KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN
November 11, 2026
UNISEL SHINES ON THE INTERNATIONAL STAGE
November 19, 2026BELANJAWAN SELANGOR 2027: UNISEL SAMBUT BAIK INISIATIF PENDIDIKAN 50 PERATUS DAN PERUNTUKAN RM1 JUTA DRONEPORT-1000
SHAH ALAM, 13 NOVEMBER 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor atas komitmen berterusan dalam memperkasa sektor pendidikan tinggi menerusi Belanjawan Selangor 2027.
UNISEL menyambut baik pengumuman inisiatif pembiayaan 50 peratus pendidikan kepada 4,000 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS).
Inisiatif tersebut mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperluas akses pendidikan tinggi, khususnya dalam meringankan beban kewangan keluarga serta membuka lebih banyak peluang kepada anak Selangor untuk melanjutkan pengajian.
Dalam perkembangan berkaitan, UNISEL turut menyambut baik pengumuman peruntukan RM1 juta bagi pembangunan Droneport-1000 di Kampus Bestari Jaya.
Inisiatif ini merupakan usaha strategik untuk meneroka potensi industri teknologi dron yang merangkumi sektor pertanian, logistik, pemantauan infrastruktur serta pengurusan bencana.
Pembangunan Droneport-1000 dijangka membuka ruang kerjasama lebih luas antara universiti, industri dan kepakaran tempatan, selain menyediakan peluang pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan kemahiran teknologi kepada mahasiswa.
Belanjawan Selangor 2027 turut memperlihatkan pendekatan menyeluruh Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan pembangunan bakat anak Selangor.
Antara inisiatif yang diumumkan termasuk Program Selangor SPARK dengan peruntukan RM1.5 juta yang menyasarkan 500 graduan dan mahasiswa bagi mengikuti latihan amali bersama agensi Kerajaan Negeri, anak syarikat serta pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, cadangan penubuhan Selangor University Network Council (SUNC) sebagai platform strategik pendidikan masa hadapan dilihat berpotensi memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Selangor.
Kerajaan Negeri turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) yang menawarkan manfaat RM1,000 kepada 5,000 mahasiswa, di samping peruntukan RM1 juta bagi program Selangor BITARA serta RM400,000 untuk Baucar Buku Kita Selangor yang bakal memanfaatkan 2,000 pelajar.
Turut diumumkan ialah Program Biasiswa Passing the Torch of Chips dengan peruntukan RM300,000 yang memberi peluang kepada 150 pelajar cemerlang bidang STEM untuk mengikuti pengajian bersama universiti rakan strategik di China.
Keseluruhan inisiatif ini memperlihatkan penekanan terhadap pembangunan modal insan, penguasaan teknologi, peningkatan kebolehpasaran graduan serta penyediaan peluang pendidikan yang lebih inklusif.
Sebagai sebuah universiti milik Kerajaan Negeri Selangor, UNISEL komited untuk terus mendukung aspirasi tersebut melalui pengukuhan kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan jaringan industri yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
UNISEL merakamkan penghargaan kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor atas sokongan berterusan dalam menjadikan pendidikan sebagai asas pembangunan masa depan negeri.
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR

















