
UNISEL PERKUKUH HUBUNGAN DIPLOMATIK DAN KERJASAMA PENDIDIKAN TINGGI BERSAMA LIBYA
November 25, 2026
UNISEL LANCAR KEMPEN YEAR END ZAKAT (YEZ) 2026, PERKUKUH KEBAJIKAN MAHASISWA & DANA PENDIDIKAN
November 27, 2026UNISEL ABADIKAN SEJARAH MEMORI MELALUI PROGRAM BICARA BUKU: DARI BATANG BERJUNTAI KE BESTARI JAYA
BESTARI JAYA, 25 NOVEMBER 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) melalui Perpustakaan UNISEL telah menganjurkan program Bicara Buku: Dari Batang Berjuntai ke Bestari Jaya: Sebuah Antologi Memoir bertempat di Perpustakaan UNISEL, Kampus Bestari Jaya semalam.
Program ini berlangsung secara fizikal dan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube UNISEL Library bagi membolehkan warga universiti serta masyarakat umum mengikuti program tersebut secara dalam talian.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Fridelina Sjahrir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) UNISEL, yang turut menyampaikan ucapan perasmian. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh En. Hafiz Abdul Rahim, Ketua Perpustakaan UNISEL.
Pengisian program dimulakan dengan perkongsian editor oleh Prof. Dr. Md Sidin bin Ahmad Ishak yang berkongsi pengalaman serta proses di sebalik penghasilan buku berkenaan. Seterusnya, sesi Bicara Buku menampilkan Prof. Madya Ts. Dr. Siti Hasmah binti Mohtar dan En. Anuwar bin Samat sebagai panel jemputan, manakala sesi perbincangan dikendalikan oleh Pn. Nur Adna Roduan, Pustakawan Kanan UNISEL, selaku moderator.
Perbincangan memberi tumpuan kepada pengalaman, pandangan dan kisah yang terkandung dalam buku tersebut, termasuk sejarah serta perkembangan dari Batang Berjuntai ke Bestari Jaya yang menjadi sebahagian daripada perjalanan UNISEL sejak penubuhannya pada tahun 1999.
Buku Dari Batang Berjuntai ke Bestari Jaya: Sebuah Antologi Memoir bukan sekadar dokumentasi sejarah, malah merupakan himpunan catatan pengalaman, memori dan peristiwa yang mencerminkan identiti serta perjalanan universiti. Pengiktirafan buku ini sebagai buku cenderahati rasmi Universiti Selangor turut memperkukuh nilai karya tersebut sebagai khazanah institusi yang wajar dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UNISEL dalam memperkasa budaya ilmu dan pembacaan, di samping menghargai karya penulisan serta memelihara sejarah dan warisan institusi. Program seumpama ini turut menjadi platform untuk menghubungkan pengalaman generasi terdahulu dengan warga universiti masa kini melalui perkongsian ilmu dan dokumentasi sejarah.
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR


























