
KUISB TERUS PERKASA TADBIR URUS & EKONOMI ANGGOTA MELALUI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-19
July 17, 2026
UNISEL SERTAI STUDY IN MALAYSIA NORTH AFRICAN TOUR 2026 : PERKUKUH PROMOSI PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA DI ALGERIA & TUNISIA
July 23, 2026KUALA LUMPUR, 22 Julai 2026 – Wacana Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 membuka tirainya hari ini di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dengan menghimpunkan tokoh akademik, pembuat dasar, pemimpin industri, pertubuhan masyarakat sivil, golongan belia serta pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan masa depan ekonomi yang lebih berteraskan nilai kemanusiaan.
Mengangkat tema "Reclaiming Humanity for Shared Prosperity", persidangan selama dua hari ini menjadi platform penting dalam memperkukuh dialog mengenai pembinaan sistem ekonomi yang bukan sahaja menekankan pertumbuhan dan keuntungan, malah mengutamakan maruah insan, kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran yang dikongsi bersama.
Majlis turut menampilkan pelbagai sesi wacana dan pembentangan yang menyentuh isu-isu semasa berkaitan pembangunan masyarakat MADANI, kepimpinan berteraskan nilai, tadbir urus berintegriti, inovasi teknologi yang beretika, kesejahteraan sosial serta pembangunan ilmu yang mampu membentuk masa depan lebih inklusif dan lestari.
Prof. Emeritus Ir. Dato' Dr. Hassan Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL turut berkongsi pandangan bahawa pembinaan ekonomi yang berperikemanusiaan perlu berlandaskan elemen maruah, kepercayaan, keadilan dan kesejahteraan, di samping memastikan penciptaan kekayaan sentiasa seiring dengan penciptaan nilai kepada masyarakat.
Beliau turut menekankan sebagai antara 'Knowledge Partner', Universiti Selangor (UNISEL) memainkan peranan penting dalam menyokong penganjuran HEGD 2026 melalui perkongsian kepakaran akademik serta komitmen universiti dalam memperkasa agenda ekonomi yang mampan, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Dalam pada itu, Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF) UNISEL, Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak menekankan kepentingan Pembangunan Ilmu MADANI Berorientasikan Masa Depan (Future-Oriented MADANI Knowledge Development). Beliau menjelaskan bahawa proses ini merupakan kitaran berterusan berasaskan nilai yang merangkumi lima fasa utama iaitu (Penciptaan Ilmu, Integrasi Ilmu, Penterjemahan Ilmu, Aplikasi Ilmu, dan Pembaruan Ilmu). Pendekatan berteraskan nilai ini penting bagi mempersiapkan masyarakat menghadapi cabaran masa depan demi mencapai kesejahteraan insan (human flourishing).
HEGD 2026 ini dianjurkan oleh Forum Ekonomi Manusiawi dengan kerjasama pelbagai agensi strategik sekali gus memperkukuhkan usaha kolektif ke arah membentuk masa depan ekonomi yang lebih adil, lestari dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat sejagat.
Rakaman penuh boleh ditonton melalui https://www.facebook.com/share/v/1DSBtNVwPQ/
HASRIL ABU HASSAN
PENGARAH KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
22 Julai 2026






























