
PERINGKAT PEMILIHAN KAMPUS ACS EDU TOUR SEASON 5: KUDETA & KRYZTARD BAKAL BAWA CABARAN UNISEL KE PERINGKAT NEGERI
October 3, 2026
NUSANTARA BERSATU, ILMU MEKAR DI UNISEL
October 3, 2026SHAH ALAM, 2 Oktober 2026 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Selangor (UNISEL) meneruskan perbincangan di peringkat pelaksana bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi meneroka bentuk kerjasama strategik dalam menyokong pembangunan Program Perubatan UNISEL.
Perbincangan yang berlangsung petang tadi merupakan susulan kepada perbincangan hasrat awal kerjasama antara Naib Canselor kedua-dua universiti semasa kunjungan hormat deligasi UNISEL ke UPM pada 11 Jun 2026 yang lalu.
Delegasi UNISEL diketuai oleh Mohd Sharikh Dali Mahad, Dekan Fakulti Sains Kesihatan UNISEL, dan turut disertai Prof. Dr. Nor Zuraida binti Zainal, Profesor Kehormat UNISEL merangkap Ketua Jawatankuasa Kurikulum Program (PCC) Perubatan UNISEL; Ts. Jaamia Qaader Mohd Badrin, Timbalan Dekan Akademik FSK UNISEL; serta Dr. Mohd Nazif Samat, Timbalan Dekan Pascasiswazah FSK UNISEL.
Delegasi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM pula diketuai oleh Profesor Dr. Normala Ibrahim, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, bersama Dr. Wan Zul Haikal Hafiz bin Wan Zukiman, Ketua Jabatan Strategik dan Perhubungan Korporat, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), yang mewakili Pengarah HSAAS, serta Puan Nariza binti Mohd Elias daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang UPM.
Dalam sesi tersebut, FSK UNISEL membentangkan dokumen konsep kerjasama strategik untuk penelitian dan perbincangan lanjut bersama pihak Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM. Pembentangan tersebut menerima maklum balas yang positif dan membuka ruang kepada perbincangan lebih lanjut mengenai bentuk, skop serta mekanisme kerjasama yang berpotensi dilaksanakan.
Antara perkara utama yang turut diterokai ialah potensi penggunaan fasiliti hospital UPM serta penglibatan pakar-pakar perubatan UPM sebagai sokongan langsung kepada latihan dan pendedahan klinikal pelajar Program Perubatan dan sains kesihatan UNISEL. Kerjasama ini berpotensi memberikan pendedahan kepada pelajar dalam persekitaran klinikal sebenar, di samping memanfaatkan kepakaran dan fasiliti yang tersedia.
Selain aspek klinikal, perbincangan turut merangkumi potensi kerjasama dalam bidang akademik, perkongsian kepakaran, pembangunan kurikulum serta pembangunan kapasiti bagi menyokong pengukuhan ekosistem pendidikan perubatan UNISEL.
Cadangan kerjasama ini akan melalui proses pertimbangan di peringkat pengurusan kedua-dua institusi sebelum sebarang keputusan dan tindakan susulan dimuktamadkan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda transformasi UNISEL untuk memperkasa Fakulti Sains Kesihatan sebagai sebuah Kolej Perubatan, yang dirancang untuk menaungi dua fakulti, iaitu Fakulti Sains Kesihatan sedia ada dan sebuah Fakulti Perubatan baharu.
Transformasi ini mencerminkan aspirasi UNISEL untuk membangunkan ekosistem pendidikan perubatan dan sains kesihatan yang lebih menyeluruh, meliputi pengembangan struktur akademik, pembangunan kepakaran, latihan klinikal serta jaringan kerjasama strategik dengan institusi yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang berkaitan.
Perbincangan di peringkat pelaksana ini menjadi langkah susulan penting dalam menterjemahkan hasrat yang telah dibincangkan di peringkat kepimpinan universiti kepada kerangka kerjasama yang lebih terperinci dan tersusun, khususnya bagi menyokong pembangunan Program Perubatan UNISEL.
FAKULTI SAINS KESIHATAN (FSK)
UNISEL
2 Oktober 2026


















