
TERBANG TINGGI, MENGHARUMKAN NAMA UNISEL DI PERSADA ANTARABANGSA!
November 5, 2026
UNISEL TERIMA LAWATAN RASMI DELEGASI NANNING VOCATIONAL AND TECHNICAL UNIVERSITY (NVTU) CHINA, PERKASA KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN
November 11, 2026PELUANG EMAS ANAK SELANGOR : UNISEL MANFAATKAN SUBSIDI PENGAJIAN SPASEL & DANA IKTISASS DI SES 2026
SETIA ALAM, 11 NOV – Universiti Selangor (UNISEL) menerima suntikan dana bernilai RM8.5 juta bagi tahun 2026 menerusi Inisiatif Subsidi Yuran Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kerajaan Negeri Selangor atau Subsidi Pengajian Anak Selangor (SPASEL).
Penyerahan mock-up cek tersebut disempurnakan bersempena Majlis Perasmian Selangor Education Summit (SES) 2026 yang berlangsung di Ballroom 1, Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam.
Sesi penyerahan simbolik tersebut diterima oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Ir. Dato' Dr. Hassan Basri daripada Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari.
Suntikan dana kepada UNISEL ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan inisiatif SPASEL bernilai RM17.378 juta di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang turut dimanfaatkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Universiti Islam Selangor (UIS).
Dalam majlis yang sama, Kerajaan Negeri Selangor turut memperkasakan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penyerahan Teraju Inisiatif Kemahiran Teknikal Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor. Peruntukan bernilai RM20 juta tersebut diagihkan secara saksama buat tiga institusi pengajian utama negeri iaitu UNISEL, STDC dan UIS.
Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari dalam ucapannya menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan modal insan kekal berdaya saing selari dengan perkembangan industri semasa.
"Hasrat kita adalah untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah berupaya meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran diri mereka secara berterusan," kata beliau.
Selangor Education Summit (SES) 2026 merupakan platform pendidikan bersepadu Kerajaan Negeri Selangor yang dianjurkan secara dwitahunan bermula dari tahun 2024 bagi memperkukuh ekosistem pendidikan melalui inisiatif pendidikan, pembangunan kemahiran, penyelidikan, inovasi dan teknologi dengan penglibatan kerajaan, institusi pendidikan, industri serta masyarakat.
SES 2026 turut menggabungkan pelbagai elemen strategik termasuk Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pembangunan Murid dan Guru, Pemerkasaan Mahasiswa dan IPT, Inisiatif IKTISASS, Pemerkasaan Modal Insan, Inisiatif Selangor Penyayang serta Pakej Daya Tahan Negeri Selangor Tahun 2026.
ᴍᴜʜᴀᴍᴍᴀᴅ ᴀʟ ʜᴀꜰɪᴢ ʙɪɴ ᴀʙᴅ ʀᴀʜᴀᴍᴀɴ
ᴘᴇɴɢᴀʀᴀʜ
ᴊᴀʙᴀᴛᴀɴ ᴋᴏᴍᴜɴɪᴋᴀꜱɪ ᴋᴏʀᴘᴏʀᴀᴛ
ᴜɴɪᴠᴇʀꜱɪᴛɪ ꜱᴇʟᴀɴɢᴏʀ


























