
UNISEL MEMPERKUKUH LANGKAH KE ARAH UNIVERSITI LESTARI MELALUI FORUM SUSTAINABILITY AND ESG 2026
September 11, 2026SHAH ALAM – Universiti Selangor (UNISEL) memperkukuh hala tuju institusi menerusi Pelan Transformasi 2026–2030 sebagai langkah strategik membawa universiti ke fasa pertumbuhan baharu yang lebih mampan, berdaya saing, terhubung dengan industri serta dipacu teknologi digital.
Pelan berkenaan memberi penekanan kepada transformasi institusi secara menyeluruh menerusi lima platform strategik utama, iaitu Visi dan Misi Baharu, Ranking dan Reputasi, Pengantarabangsaan, UNISEL Digital serta Advanced TVET.
Lima platform strategik berkenaan akan menjadi pemacu kepada usaha UNISEL untuk memperluaskan akses pendidikan, meningkatkan kebolehpasaran graduan, memperkukuh jaringan industri, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan inovasi serta meneroka sumber pendapatan baharu yang lebih mampan.
Dalam aspek pembangunan akademik dan pelajar, UNISEL turut memberikan tumpuan kepada perkembangan program yang relevan dengan keperluan semasa industri, pelaksanaan Work-Based Learning (WBL), pendidikan fleksibel dan digital, microcredentials, pensijilan industri serta program berorientasikan teknologi dan kemahiran masa hadapan.
Pelan Transformasi 2026–2030 turut menggariskan beberapa sasaran institusi termasuk mencapai kadar kebolehpasaran graduan sekurang-kurangnya 90 peratus, meningkatkan komposisi mahasiswa antarabangsa kepada sekitar 15 peratus, membangunkan sekurang-kurangnya 100 rakan industri aktif, serta memperluaskan penyertaan dalam pendidikan digital dan Advanced TVET.
Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Transformasi dan Jaringan Industri), Prof. Madya Dr. Dzulkarnain Ahmad berkata, pelaksanaan Pelan Transformasi 2026–2030 menuntut perubahan secara menyeluruh bukan sahaja dari sudut sistem dan struktur, malah melibatkan budaya kerja serta pendekatan universiti dalam mengukur pencapaian.
“Transformasi UNISEL perlu bergerak daripada pendekatan yang berorientasikan aktiviti kepada pendekatan yang berorientasikan impak. Setiap inisiatif yang dilaksanakan perlu memberikan nilai yang jelas kepada mahasiswa, industri, masyarakat dan Negeri Selangor", ujar beliau.
“Melalui Pelan Transformasi 2026–2030, kita mahu membina UNISEL yang lebih tangkas, mampan dan relevan dengan keperluan industri serta bersedia menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi dan perkembangan teknologi,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, aspek reputasi institusi turut diberikan perhatian menerusi usaha memperkukuh pencapaian UNISEL dalam SETARA, MyRA, UI GreenMetric serta penarafan universiti di peringkat antarabangsa.
Perbincangan strategik berhubung pelaksanaan dan hala tuju Pelan Transformasi 2026–2030 turut melibatkan wakil Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [MBI] bersama pengurusan UNISEL, khususnya dalam memastikan perancangan yang digariskan mengambil kira aspek kelestarian kewangan, transformasi institusi, pembangunan industri, inovasi, pemasaran serta pengukuhan reputasi universiti.
Turut sama sepanjang sesi perbincangan ialah En. Muhammad Hudhaifa Bin Ahmad, Ketua Bahagian Strategi Kumpulan merangkap Ketua Perkhidmatan Korporat MBI; Pn. Norhaniesa binti Hasan, Ketua Kumpulan Bahagian Kewangan MBI; En. Mohammed Akram bin Mohd Tamyes, Bendahari UNISEL; En. Amran bin Abdul Wahab, Penasihat Kewangan Korporat UNISEL; Dr. Intan Faraha binti A. Ghani, Pengarah Pusat Pengkomersialan dan Jalinan Industri (CCIL); En. Muhammad Al-Hafiz Abd Rahaman, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat; serta En. Azrul Azrin bin Wahab, Pengarah Jabatan Pemasaran & Kemasukan UNISEL.
Transformasi ini membawa aspirasi untuk menjadikan UNISEL sebuah institusi yang bukan sahaja mengukur kejayaan berdasarkan jumlah program atau aktiviti yang dilaksanakan, tetapi berdasarkan impak sebenar yang dapat dihasilkan kepada mahasiswa, industri dan masyarakat.
Berteraskan proposisi institusi “UNISEL – Creating Impact | Mencipta Impak”, universiti akan terus memperkukuh peranannya dalam memajukan ilmu, membangunkan bakat serta memacu inovasi yang memberikan manfaat berterusan kepada industri, masyarakat dan Negeri Selangor.
Pelan Transformasi 2026–2030 sekali gus mencerminkan komitmen UNISEL untuk bergerak ke fasa pertumbuhan baharu dengan memanfaatkan kekuatan institusi, sokongan Kerajaan Negeri Selangor, jaringan industri serta kedudukan strategiknya sebagai sebuah universiti milik Kerajaan Negeri.
Usaha tersebut dijangka menjadi asas dalam membentuk UNISEL yang lebih berdaya saing, mampan dan berimpak, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus menyumbang kepada pembangunan modal insan serta kemajuan Negeri Selangor.
MUHAMMAD AL-HAFIZ ABD RAHAMAN
Pengarah
Jabatan Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
17 September 2026
#UniselKitaPunya

























