
UNISEL HADIRI KE MAJLIS PRA-PELANCARAN COFFEE TABLE BOOK ANWAR IBRAHIM: KISAH YANG DIRAKAM
October 15, 2026
JELAJAH KUASA ORANG MUDA PERKASA LITERASI POLITIK MAHASISWA UNISEL
October 15, 2026BESTARI JAYA, 15 Oktober 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) telah mengadakan lawatan rasmi ke ARC Berkat Agro Food Sdn. Bhd. dan Selangor Fruit Valley bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang akuakultur, agroteknologi, penyelidikan, latihan industri serta pembelajaran berasaskan tempat kerja (𝘞𝘰𝘳𝘬-𝘉𝘢𝘴𝘦𝘥 𝘓𝘦𝘢𝘳𝘯𝘪𝘯𝘨).
Lawatan ini diketuai oleh Presiden & Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan bin Basri, bersama delegasi pengurusan universiti yang melibatkan Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor (Transformasi dan Jaringan Industri), wakil Pusat Komersialisasi dan Jaringan Industri (PKJI), Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FSTE) serta Jabatan Komunikasi Korporat.
Di ARC Berkat Agro Food Sdn. Bhd., delegasi UNISEL diberi pendedahan mengenai operasi pembenihan dan penternakan ikan air tawar, khususnya ikan keli dan tilapia. Lawatan turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam penyelidikan akuakultur, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pembangunan kompetensi pelajar melalui latihan industri dan WBL.
Sementara itu, lawatan ke Selangor Fruit Valley memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama dalam bidang agroteknologi dan pertanian, penyelidikan pertanian lestari, penempatan pelajar serta pelaksanaan program pembangunan kemahiran berasaskan industri. Perbincangan turut merangkumi cadangan kerjasama pelaksanaan program GAIP UNISEL–PKPS.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen UNISEL untuk memperkukuh jaringan strategik bersama pihak industri dan rakan kerjasama, sekali gus memperluas peluang pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
UNISEL berharap agar lawatan ini menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang mampan dan berimpak tinggi, khususnya dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri demi menyokong pembangunan ilmu, inovasi dan ekonomi setempat.
ᴍᴜʜᴀᴍᴍᴀᴅ ᴀʟ ʜᴀꜰɪᴢ ʙɪɴ ᴀʙᴅ ʀᴀʜᴀᴍᴀɴ
ᴘᴇɴɢᴀʀᴀʜ
ᴊᴀʙᴀᴛᴀɴ ᴋᴏᴍᴜɴɪᴋᴀꜱɪ ᴋᴏʀᴘᴏʀᴀᴛ
ᴜɴɪᴠᴇʀꜱɪᴛɪ ꜱᴇʟᴀɴɢᴏʀ




























