
DELEGASI UNISEL HADIRI MAJLIS PENUTUPAN SELANGOR TECHSPHERE SUMMIT 2026
October 16, 2026KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2026 – Delegasi Universiti Selangor (UNISEL) yang diketuai oleh Presiden dan Naib Canselor, YBhg. Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri telah menghadiri Majlis Penutupan Selangor Techsphere Summit 2026 yang berlangsung di Exhibition Hall 5, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.
Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, selepas sesi CXO Roundtable Dialogue yang menghimpunkan pemimpin industri bagi membincangkan isu strategik berkaitan pembangunan bakat, keperluan kemahiran industri, latihan semula tenaga kerja serta daya saing Malaysia dalam sektor berteknologi tinggi.
Selangor Techsphere Summit 2026 berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober 2026, anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dan Deutsche Messe.
Penyertaan delegasi UNISEL dalam program ini mencerminkan komitmen universiti untuk memperkukuh hubungan strategik bersama kerajaan dan pihak industri, di samping mengikuti perkembangan teknologi serta keperluan tenaga kerja semasa.
Melalui platform seumpama ini, UNISEL terus berusaha memperluas jaringan kerjasama dan meneroka peluang kolaborasi strategik bagi memperkasa pembangunan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dengan keperluan industri masa hadapan.
ᴍᴜʜᴀᴍᴍᴀᴅ ᴀʟ ʜᴀꜰɪᴢ ʙɪɴ ᴀʙᴅ ʀᴀʜᴀᴍᴀɴ
ᴘᴇɴɢᴀʀᴀʜ
ᴊᴀʙᴀᴛᴀɴ ᴋᴏᴍᴜɴɪᴋᴀꜱɪ ᴋᴏʀᴘᴏʀᴀᴛ
ᴜɴɪᴠᴇʀꜱɪᴛɪ ꜱᴇʟᴀɴɢᴏʀ



























