
DELEGASI UNISEL HADIRI MAJLIS PENUTUPAN SELANGOR TECHSPHERE SUMMIT 2026
October 17, 2026AIR SELANGOR, UNISEL DAN STDC TEROKA POTENSI PEMBANGUNAN UNIVERSITI AIR PERTAMA DI MALAYSIA
SHAH ALAM, 20 Oktober 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) menerusi Majlis Pelancaran Program Kerjasama serta Majlis Penyampaian Sijil Profesional Teknologi Pengurusan Bekalan Air yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam. Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.
Dalam ucapan aluan, YBhg. Profesor Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, menekankan kepentingan kerjasama universiti dan industri dalam memperkukuh pendidikan tinggi serta memenuhi keperluan tenaga kerja. Kerjasama sedia ada turut meliputi latihan industri, Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), pelantikan penasihat industri serta promosi program akademik dan profesional UNISEL oleh warga kerja Air Selangor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, YBrs. Encik Adam Saffian Ghazali, memaklumkan bahawa tiga program akademik dalam bidang teknologi kejuruteraan dan pengurusan bekalan air dijangka diperkenalkan mulai 2027, merangkumi peringkat sijil profesional, ijazah sarjana muda dan sarjana bagi memperluas peluang pendidikan serta pembangunan kompetensi industri.
Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato’ Seri Amirudin menegaskan bahawa kerjasama ini merupakan langkah penting dalam pembangunan bakat industri air, sekali gus membuka ruang ke arah pembentukan ekosistem Universiti Air (Water University) pertama di Malaysia yang berteraskan kurikulum industri, latihan kemahiran, pensijilan kompetensi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Profesional Teknologi Pengurusan Bekalan Air kepada 138 peserta yang berjaya menamatkan latihan hasil kerjasama UNISEL dan STDC, mencerminkan komitmen bersama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kompeten.
UNISEL komited memperluas jaringan strategik bersama industri bagi memperkukuh pendidikan berasaskan kemahiran, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyumbang kepada pembangunan modal insan dan sosioekonomi Negeri Selangor serta negara.
ᴍᴜʜᴀᴍᴍᴀᴅ ᴀʟ ʜᴀꜰɪᴢ ʙɪɴ ᴀʙᴅ ʀᴀʜᴀᴍᴀɴ
ᴘᴇɴɢᴀʀᴀʜ
ᴊᴀʙᴀᴛᴀɴ ᴋᴏᴍᴜɴɪᴋᴀꜱɪ ᴋᴏʀᴘᴏʀᴀᴛ
ᴜɴɪᴠᴇʀꜱɪᴛɪ ꜱᴇʟᴀɴɢᴏʀ




































