
LANGKAH GLOBAL UNISEL : JALIN SINERGI PENDIDIKAN DUA NEGARA MENERUSI GEM SIRI KE-EMPAT
June 10, 2026
PRO-CANSELOR UNISEL MENYANTUNI WARGA KAMPUS BESTARI JAYA
June 16, 2026SERDANG, 11 Jun 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) terus melangkah proaktif dalam memperkukuh agenda pembangunan pendidikan tinggi apabila mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang pendidikan perubatan.
Pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM petang tadi menjadi platform penting untuk kedua-dua institusi bertukar pandangan dan meneroka peluang kerjasama yang mampu memperkasa pembangunan Program Perubatan UNISEL pada masa hadapan.
Delegasi UPM diketuai oleh Naib Canselor, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, manakala UNISEL diwakili oleh Presiden dan Naib Canselor, YBhg. Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri.
Turut hadir ialah Profesor Kehormat dan Ahli Program Curriculum Committee (PCC) Program Perubatan UNISEL yang memainkan peranan penting dalam pembangunan program tersebut, iaitu:
• YBhg. Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal, Pakar Psikiatri Universiti Malaya (UM) merangkap Ketua PCC Program Perubatan UNISEL;
• YBhg. Prof. Dr. Hj. Hamidon Hj. Basri, Pakar Neurologi UPM
• YBrs. Prof. Madya Dr. Suhaila Sanip, Pakar Pendidikan Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Kerjasama yang dirintis ini dijangka membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pembangunan kurikulum yang lebih dinamik, pengukuhan aktiviti penyelidikan serta penerapan teknologi dan inovasi terkini dalam pendidikan perubatan.
Gabungan kekuatan akademik dan klinikal UPM bersama komitmen UNISEL sebagai universiti milik penuh Kerajaan Negeri Selangor diyakini mampu melahirkan ekosistem pendidikan perubatan yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada bakal mahasiswa perubatan, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan negara pada masa hadapan.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Dekan Fakulti Sains Kesihatan UNISEL, Encik Mohd Sharikh Dali Mahad, serta barisan pengurusan tertinggi UPM termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dr. Zamberi Sekawi dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, YBhg. Prof. Dr. Normala Ibrahim.
Langkah awal ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi negara serta menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan perubatan yang lebih inovatif, lestari dan berimpak tinggi.
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
11 Jun 2026














































