
BICARA BUDIMAN SIRI KE-4 HIMPUNKAN KOMUNITI DAN MAHASISWA
April 30, 2026Universiti Selangor (UNISEL) terus memperkukuhkan jaringan antarabangsa menerusi penganjuran Majlis Perasmian Program Global Exchange Malaysia (GEM) 03/2026 yang berlangsung di Bilik Seminar Siddiq Fadzil, Perpustakaan UNISEL Kampus Bestari Jaya pagi tadi.
Program anjuran Pejabat Antarabangsa UNISEL ini merupakan sebuah program mobiliti inbound berbentuk summer camp yang menghimpunkan seramai 21 orang pelajar antarabangsa dari Indonesia melibatkan bidang pendidikan dan psikologi. Antara institusi pengajian tinggi yang terlibat ialah Universitas Negeri Malang, STIKes Mutiara Mahakam, STIE Nusantara, STIH Awang Long dan ITKES Wiyata Husada.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa UNISEL, Prof. Madya Dr. Hashimah Bt Ismail yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kepercayaan institusi luar negara untuk menjalin kerjasama akademik bersama UNISEL. Beliau turut menekankan bahawa program seperti GEM menjadi platform penting dalam memperluaskan pengalaman global mahasiswa serta memperkukuh hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, En. Hasril Bin Abu Hassan; Pengarah Pusat Sukan dan Budaya, En. Mohd Ikwaniata Bin Taib; Ketua Jabatan Psikologi, Ms. Angela Chan Nguk Fong; serta Timbalan Pengarah IFSF, Ts. Izwan Suhadak Bin Ishak. Wakil daripada institusi Indonesia turut hadir antaranya Dr. Otto Fajarianto, M.Kom. dari Universitas Negeri Malang dan Tuti Meihartati, Ph.D. dari ITKES Wiyata Husada.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Indonesia sebelum diteruskan dengan ucapan aluan oleh koordinator program serta wakil universiti dari Indonesia. Acara diteruskan dengan sesi simbolik penyerahan lantikan Buddies dan penyerahan kad pelajar kepada para peserta sebagai tanda rasmi penyertaan mereka dalam program tersebut.
Program GEM 03/2026 akan berlangsung selama 14 hari bermula 4 hingga 17 Mei 2026 dengan pelbagai pengisian akademik dan budaya. Antara aktiviti yang dirancang termasuk tiga kursus khusus berkaitan bidang pendidikan dan psikologi, lawatan ilmiah ke Kuala Lumpur, Shah Alam dan Sekinchan serta aktiviti Community Service Responsibility (CSR).
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UNISEL dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan universiti serta menyediakan platform pembelajaran rentas budaya yang memberi manfaat kepada mahasiswa tempatan dan antarabangsa.
PEJABAT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
7 Mei 2026


































