
UNISEL CEMERLANG DI PENTAS INOVASI KAUNSELING DAN KESEJAHTERAAN ANTARABANGSA
June 22, 2026
UNISEL JADI TUAN RUMAH PROGRAM SUARA MADANI : FORUM KENEGARAAN HIMPUNKAN 300 MAHASISWA
June 25, 2026LAWATAN PENANDA ARAS UniMAIWP KE UNISEL : FOKUS PACU TRANSFORMASI DIGITAL DAN SISTEM MAKLUMAT PINTAR
Bestari Jaya- Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menerima kunjungan delegasi daripada Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) sempena Program Lawatan Penanda Aras yang memfokuskan kepada pemantapan ekosistem digital dan sistem maklumat pengurusan universiti.
Kehadiran delegasi UniMAIWP ini disambut baik oleh pengurusan tertinggi UNISEL, yang menyifatkan kunjungan ini sebagai satu platform penting demi mempertautkan hubungan kerjasama strategik serta perkongsian pintar antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi tersebut.
Lawatan tersebut memberi fokus kepada beberapa agenda utama transformasi institusi, antaranya memahami kecekapan sistem maklumat dalaman seperti Sistem Maklumat Pelajar (SMP), Sistem Pengurusan Sumber Manusia (SPSM) dan Sistem Pengurusan Kewangan (SPK) dalam menyokong kelangsungan operasi universiti secara lebih sistematik dan efisien.
Selain itu, delegasi turut diberi pendedahan mengenai aplikasi pintar yang dibangunkan dan digunakan di UNISEL daripada perspektif pengalaman pengguna (UX/UI), keperluan teknikal serta keberkesanannya dalam menyampaikan perkhidmatan digital kepada pelajar dan warga kerja universiti.
Turut menjadi tumpuan adalah strategi pembangunan sistem digital yang mendasari agenda transformasi digital UNISEL, termasuk penggunaan teknologi mudah alih, integrasi sistem serta automasi proses kerja yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Delegasi juga berpeluang meninjau pendekatan keselamatan dan dasar ICT yang diamalkan oleh UNISEL, merangkumi aspek kawalan akses pengguna, perlindungan data peribadi serta pematuhan terhadap polisi keselamatan siber institusi.
Sesi perkongsian dan perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Dzulkarnain bin Ahmad, Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor (Transformasi dan Jaringan Industri) UNISEL, serta diketuai oleh En. Muhammad bin Hashim selaku Pengarah Pusat Kecerdasan Digital UNISEL (UCDI).
Manakala, delegasi daripada UniMAIWP pula diketuai oleh Ts. Syafiq bin Abdullah, Ketua Pegawai Strategi Universiti Antarabangsa MAIWP.
Menurut Prof. Madya Dr. Dzulkarnain bin Ahmad, "Sinergi dan perkongsian pintar seperti ini adalah kunci utama untuk menterjemahkan agenda universiti pintar ke alam realiti. Di UNISEL, kami sentiasa melihat aspek pendigitalan bukan sekadar trend, tetapi satu keperluan kritikal untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penyampaian perkhidmatan", ujar beliau.
Tambah beliau, "Kami amat berbesar hati dapat berkongsi modul pembangunan sistem dalaman kami dengan UniMAIWP, dan berharap penandaarasan ini membuka ruang kolaborasi yang lebih luas pada masa hadapan."
Dalam pada itu, Ts. Syafiq bin Abdullah turut menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak UNISEL menerima kunjungan tersebut serta berkongsi kepakaran teknikal mereka.
"Pihak UniMAIWP amat mengagumi langkah progresif yang diambil oleh UNISEL dalam membina dan mengintegrasikan sistem maklumat secara mandiri. Lawatan ini membuktikan bahawa institusi tempatan mampu saling menyokong demi memartabatkan landskap pendidikan digital negara", ujar beliau.
Lawatan diakhiri dengan sesi pembentangan teknikal oleh pasukan UCDI, sesi soal jawab interaktif, dan penyampaian cenderamata sebagai simbolik jalinan ukhuwah serta kerjasama strategik yang berpanjangan antara UNISEL dan UniMAIWP.
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor (UNISEL)
25 Jun 2026


































