
UNISEL TERUS PERLUAS JARINGAN STRATEGIK DI CHINA, PERKUKUH KERJASAMA BERSAMA SEKTOR INDUSTRI
October 9, 2026
SEKITAR SESI PERJUMPAAN UNISEL BERSAMA MEDIA PRIMA
October 14, 2026SYARAHAN UMUM PROFESOR KEHORMAT UNISEL, TAN SRI DR. LIM WEE CHAI KUPAS KEJAYAAN MELALUI KEKAYAAN ILMU DAN KESIHATAN
SHAH ALAM, 13 OKTOBER 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Fakulti Perniagaan & Perakaunan (FBA) dengan kerjasama Selangor Business School (SBS) hari ini menganjurkan Syarahan Umum oleh Profesor Kehormat UNISEL, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai, yang juga Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd., bertempat di Dewan Kuliah 2, Bangunan Berlian, Kampus Shah Alam.
Syarahan bertajuk “The Wealth of Knowledge, The Wealth of Health: Rethinking Success for the Next Generation – An Entrepreneur’s Perspective” itu menghimpunkan mahasiswa, pensyarah serta warga UNISEL bagi mendalami perspektif tokoh korporat berpengalaman mengenai kepentingan ilmu, kesihatan dan pemikiran keusahawanan dalam membentuk kejayaan masa hadapan.
Presiden dan Naib Canselor UNISEL, YBhg. Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa peluang menimba ilmu daripada tokoh industri perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membentuk pemikiran yang lebih matang, berpandangan jauh dan mampu menghasilkan impak yang signifikan terhadap masa hadapan.
Beliau turut menyeru mahasiswa dan mahasiswi agar mengambil peluang keemasan tersebut untuk mendengar, memahami serta menghayati perjalanan dan pengalaman Tan Sri Dr. Lim Wee Chai dalam membina kejayaan sebagai seorang usahawan.
Pengalaman yang dikongsikan diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar untuk menetapkan matlamat yang jelas, berani meneroka peluang serta membina masa depan yang cemerlang, ujar beliau lagi.
Dalam syarahan tersebut, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkongsi pandangan mengenai hubungan antara kekayaan ilmu, kesihatan dan kejayaan, dengan menekankan bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui pencapaian material, malah turut bergantung pada keseimbangan kehidupan, disiplin diri dan keupayaan seseorang untuk terus berkembang.
Beliau turut memperkenalkan pendekatan “5 Wells”, iaitu lima amalan yang diterapkan dalam kehidupan dan budaya kerja bagi membina kehidupan yang lebih sihat, seimbang dan produktif.
Lima amalan tersebut merangkumi:
1. Clean Well – Menjaga kebersihan diri melalui amalan kebersihan yang konsisten.
2. Eat Well – Mengamalkan pemakanan seimbang, mengambil pelbagai jenis sayur-sayuran serta memastikan pengambilan air yang mencukupi.
3. Work Well – Bekerja dengan lebih bijak, pantas dan berkesan, bersikap proaktif serta membina pemikiran positif dalam melaksanakan tanggungjawab.
4. Exercise Well – Menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin harian dan mengamalkan gaya hidup aktif.
5. Sleep Well – Mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi bagi mengekalkan kesihatan serta produktiviti.
Pendekatan tersebut memperlihatkan bahawa pembentukan kejayaan yang mampan perlu bermula daripada pengurusan diri yang baik, keseimbangan fizikal dan mental serta sikap positif dalam kehidupan dan pekerjaan.
Tan Sri Dr. Lim turut mengingatkan bahawa ilmu pengetahuan perlu disertai tindakan, disiplin dan kesungguhan untuk diterjemahkan kepada hasil yang bermakna. Bagi generasi muda, kesediaan untuk terus belajar, memperbaiki diri dan menyesuaikan diri dengan perubahan merupakan antara elemen penting dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Majlis turut menyaksikan tayangan video korporat Top Glove sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada para tetamu dan mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan Tan Sri Dr. Lim. Sesi tersebut membuka ruang kepada perkongsian pandangan serta pertanyaan berkaitan pengalaman keusahawanan, pembinaan kerjaya dan prinsip yang menjadi asas kepada kejayaan dalam dunia perniagaan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Tan Sri Dr. Lim Wee Chai serta sesi bergambar bersama barisan pengurusan universiti dan wakil Top Glove, sebelum diteruskan dengan jamuan makan tengah hari.
Penganjuran syarahan ini mencerminkan komitmen UNISEL dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan industri, di samping menyediakan ruang pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar yang mampu memperkaya pengetahuan, mencetus inspirasi dan mempersiapkan mahasiswa untuk menghadapi landskap kerjaya serta keusahawanan yang semakin mencabar.
ᴍᴜʜᴀᴍᴍᴀᴅ ᴀʟ ʜᴀꜰɪᴢ ʙɪɴ ᴀʙᴅ ʀᴀʜᴀᴍᴀɴ
ᴘᴇɴɢᴀʀᴀʜ
ᴊᴀʙᴀᴛᴀɴ ᴋᴏᴍᴜɴɪᴋᴀꜱɪ ᴋᴏʀᴘᴏʀᴀᴛ
ᴜɴɪᴠᴇʀꜱɪᴛɪ ꜱᴇʟᴀɴɢᴏʀ































