Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Yayasan Universiti Selangor (YUSEL) hari ini telah menganjurkan Majlis Pemberian Bantuan Tunai Ehsan kepada pelajar yang layak bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canselori kampus Bestari Jaya.
Seramai 120 orang pelajar dari kampus Shah Alam dan Bestari Jaya yang memenuhi kriteria menerima Bantuan Tunai Ehsan tersebut setelah dinilai oleh pihak YUSEL. Bantuan tersebut merupakan wang tunai sebanyak RM400 bagi memenuhi keperluan pembiayaan harian seperti makanan, alat-alat belajar, kegunaan harian di tempat tinggal dan lain-lain.
Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL menyempurnakan penyampaian bantuan tersebut serta menyarankan kepada pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya dalam kegunaan pembelajaran masing-masing.
Hadir sama sepanjang program adalah Pn. Hjh Rokmaa Binti Haji Mat Pendaftar merangkap Pengarah YUSEL, pengurusan tertinggi universiti serta penerima Bantuan Tunai Ehsan YUSEL.