
UNISEL HADIRI MAJLIS ILMU MADANI BERSAMA YAB PERDANA MENTERI
November 27, 2026
SKUAD COMNET UNISEL SANTUNI KOMUNITI TERJEJAS BANJIR DI SELANGOR
November 28, 2026UNISEL RAKAM PENGHARGAAN JADI LOKASI KARNIVAL WIRA AIR 2026, DEKATKAN PENDIDIKAN AIR DENGAN KOMUNITI
BESTARI JAYA, 28 November 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya hari ini menjadi tuan rumah bagi penganjuran Karnival Wira Air 2026 anjuran Air Selangor, yang menghimpunkan sekitar 1500 daripada 38 buah sekolah daerah Kuala Selangor, warga pendidik, pemain industri serta komuniti setempat dalam usaha memupuk kesedaran mengenai kepentingan penjagaan sumber air.
Majlis perasmian dan penutup karnival yang bertemakan "Joy in Every Drop" ini telah disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari. Turut hadir memeriahkan majlis ialah EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Negeri Selangor, YB Tuan Ng Sze Han; Pegawai Daerah Kuala Selangor, Tuan Mohd Raiz bin Radzuan; barisan Ahli Lembaga Pengarah Air Selangor, Dato' Teo Yen Hua dan Cik Vilashini Ganespathy; serta Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Encik Adam Saffian Ghazali.
Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pihak universiti amat berbesar hati menerima kehadiran semua tetamu dan menyokong penuh inisiatif yang mendekatkan pendidikan kelestarian air kepada masyarakat serta generasi muda, khususnya generasi Gen Alpha.
"Sebagai tuan rumah, kami sememangnya sangat berbesar hati menerima kehadiran hadirin sekalian ke kampus kami. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Air Selangor selaku penganjur kerana memilih Kampus Bestari Jaya sebagai lokasi karnival ini, sekali gus membawa pendidikan tentang penjagaan sumber air supaya lebih dekat dengan warga kampus dan masyarakat setempat," katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Dr. Hassan Basri turut berkongsi perkembangan positif mengenai kerjasama tiga pihak melibatkan UNISEL, Air Selangor, dan IHE Delft Institute for Water Education dari Belanda, yang merupakan institusi teknologi dan pengurusan air tersohor di peringkat antarabangsa.
Penganjuran Karnival Wira Air 2026 di UNISEL sarat aktiviti-aktiviti lapangan serta persembahan daripada pelajar sekolah sekali gus berjaya merapatkan jurang antara warga kampus, industri dan komuniti, malah diharap dapat menyuntik kesedaran berterusan kepada para guru, pelajar dan keluarga untuk terus mengamalkan serta menyebarkan budaya penjimatan air kepada masyarakat sekeliling.
MUHAMMAD AL-HAFIZ ABD RAHAMAN
PENGARAH
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR



































