
SATU LANGKAH, SERIBU PELUANG DI UNISEL
August 27, 2026
SESI SERAH TUGAS PENGARAH KOMUNIKASI KORPORAT UNISEL METRAI FASA BAHARU KEPIMPINAN
September 3, 2026Universiti Selangor (UNISEL) hari ini mengadakan Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Sesi Ogos 2026 sebagai simbolik penerimaan pelajar baharu sebagai sebahagian daripada warga Universiti Selangor.
Majlis yang berlangsung di kedua-dua buah kampus Bestari Jaya dan Shah Alam itu merupakan kesinambungan daripada Minggu Tekad Siswa Budiman (MTSB) bagi pelajar-pelajar baharu yang telah mendaftar.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini merupakan minggu suai kenal bagi pelajar-pelajar baharu dan dikendalikan oleh Fasilitator MTS Budiman di bawah Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti.
Program ini menjadi ruang kepada mahasiswa baharu untuk mengenali persekitaran kampus, membina jaringan persahabatan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai warga UNISEL.
Turut hadir dan menyampaikan amanat pada majlis tersebut ialah Prof. Madya Dr. Hamdan bin Dato’ Mohd Salleh, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL yang merasmikan Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Sesi Ogos 2026.
Dalam amanatnya, beliau menekankan bahawa pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan dan membuka ruang kepada seseorang untuk membina masa depan yang lebih baik. Beliau turut mengingatkan para pelajar agar tidak melihat kejayaan sebagai hasil usaha diri sendiri semata-mata, sebaliknya sentiasa menghargai doa, pengorbanan dan sokongan insan di sekeliling.
“Kejayaan anda nanti bukan milik anda seorang. Di belakang setiap kejayaan, ada doa, keringat dan pengorbanan orang lain yang membantu dan mendoakan kita.” ujar beliau.
Majlis diteruskan dengan lafaz ‘Ikrar Mahasiswa Mahasiswi Baharu’ sebagai simbolik rasmi bergelar warga UNISEL. Majlis turut disemarakkan dengan gimik kemerdekaan yang dipersembahkan oleh para pelajar, diikuti nyanyian lagu patriotik ‘Keranamu Malaysia’ yang membangkitkan semangat cinta akan negara. Acara kemudiannya diteruskan dengan deklamasi sajak oleh seorang mahasiswi yang mengangkat tema pendidikan, adab dan patriotisme serta peranan generasi muda dalam mempertahankan kemerdekaan negara.
Kepada anda yang masih mencari hala tuju selepas peperiksaan, inilah masanya untuk membuat pilihan terbaik demi masa depan anda kerana tempoh pendaftaran akan dipanjangkan sehingga 04 September 2026.
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
28 Ogos 2026


























