
AAK UNISEL FC JULANG KEJUARAAN LIGA FAS BAHAGIAN 1 2026
July 13, 2026
KUISB TERUS PERKASA TADBIR URUS & EKONOMI ANGGOTA MELALUI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-19
July 17, 202615 Julai 2026 – Universiti Selangor (UNISEL) hari ini melaksanakan penyerahan simbolik bantuan peranti komputer riba (laptop) di bawah inisiatif Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada mahasiswa India UNISEL dalam satu majlis yang berlangsung di Lobi Bangunan Canseleri, Kampus Bestari Jaya.
Majlis simbolik tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Hamdan Bin Dato' Mohd Salleh, Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL, sebagai tanda komitmen universiti dalam memastikan kebajikan serta keperluan pembelajaran mahasiswa terus diberi perhatian.
Bantuan peranti ini merupakan sumbangan daripada MITRA yang diuruskan pelaksanaannya oleh Yayasan Didik Negara, dengan kerjasama erat pihak UNISEL dalam menyelaras proses penyerahan kepada para penerima. Hasil kerjasama tersebut membolehkan pengagihan peranti dilaksanakan dengan lebih tersusun dan lancar demi manfaat mahasiswa.
Secara keseluruhannya, seramai 153 mahasiswa India UNISEL dari Kampus Shah Alam dan Kampus Bestari Jaya menerima manfaat daripada bantuan ini. Inisiatif tersebut dijangka dapat membantu meningkatkan akses kepada pembelajaran digital, sekali gus menyokong kecemerlangan akademik serta memperkasakan pengalaman pembelajaran dalam era pendidikan berteraskan teknologi.
UNISEL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MITRA dan Yayasan Didik Negara atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan dalam menjayakan inisiatif ini.
Kerjasama strategik seperti ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam memperkukuh agenda pendidikan inklusif dan memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada menikmati kemudahan pembelajaran yang berkualiti.
HASRIL ABU HASSAN
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
15 Julai 2026
























