
KASIH DAN KEPRIHATINAN TIDAK TERHENTI WALAUPUN SESEORANG TELAH TIADA
June 19, 2026
LAWATAN PENANDA ARAS UniMAIWP KE UNISEL : FOKUS PACU TRANSFORMASI DIGITAL DAN SISTEM MAKLUMAT PINTAR
June 25, 2026Universiti Selangor (UNISEL) terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang kesejahteraan mental dan inovasi apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan pada 2nd International Counselling and Wellness Innovation Competition (INNOCARE 2026) yang telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 18 hingga 20 Jun 2026.
Pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa yang telah dirasmikan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, menghimpunkan lebih 150 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan serta organisasi profesional dari dalam dan luar negara. Antara agensi yang turut mengambil bahagian termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia.
Dalam pertandingan tersebut, inovasi “MaSH Profiling Inventory: Kaedah Saringan Perkhidmatan Kaunseling bagi Isu Kesejahteraan Psikologi Pelajar Universiti Selangor (UNISEL)” berjaya disenaraikan dalam kalangan 72 projek terbaik yang layak ke peringkat Final Pitching, sekali gus membuktikan komitmen UNISEL dalam memperkasa kesejahteraan mental mahasiswa menerusi pendekatan inovatif dan berasaskan data.
MaSH Profiling Inventory merupakan instrumen saringan awal yang dibangunkan bagi membantu kaunselor mengenal pasti pelajar yang berisiko mengalami isu kesihatan mental secara lebih sistematik, cepat dan berkesan. Inovasi ini menggabungkan empat instrumen psikologi utama iaitu Ujian Saringan Minda Sihat (DASS), Inventori Stres Pelajar, Inventori Keperluan Psikologi Klien dan Ujian Kecenderungan Kerjaya (VPI). Data yang diperoleh direkod dan dianalisis menerusi sistem pangkalan data digital bagi memudahkan pemantauan, interpretasi serta pelaksanaan intervensi kaunseling secara berterusan.
Turut membanggakan, Unit Kaunseling dan Latihan UNISEL bersama pensyarah serta pelajar Tahun 2 Program Psikologi berjaya merangkul Anugerah Gangsa (Bronze Award) menerusi inovasi “COGNIGACHA: A Gamified Cognitive Behavioral Therapy Intervention Tool”, sebuah platform intervensi berasaskan permainan yang direka untuk meningkatkan keberkesanan pendekatan Terapi Tingkah Laku Kognitif (Cognitive Behavioral Therapy - CBT) dalam kalangan pengguna.
Kejayaan dua inovasi ini mencerminkan komitmen berterusan UNISEL dalam memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan pembangunan kesejahteraan mental masyarakat, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing serta peka terhadap cabaran kesejahteraan psikologi masa kini.
Tahniah diucapkan kepada Unit Kaunseling dan Latihan, para pensyarah serta pelajar yang telah mengharumkan nama Universiti Selangor di persada inovasi antarabangsa.
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
22 JUN 2026







































