PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN TERIMA PENGANUGERAHAN GELARAN PROFESOR EMERITUS

  • Home
  • PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN TERIMA PENGANUGERAHAN GELARAN PROFESOR EMERITUS
Shape
PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN TERIMA PENGANUGERAHAN GELARAN PROFESOR EMERITUS
Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) telah menerima penganugerahan gelaran Profesor Emeritus semasa berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-64 pada 1 Disember 2024 bertempat di Dewan Tunku Canselor.
 
Penganugerahan telah disampaikan oleh Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ramli Ngah Talib selaku Pro-Canselor UM pada sidang 3 istiadat konvokesyen adalah bagi menghargai sumbangan beliau kepada universiti dan negara terutama dalam bidang sejarah, politik dalam dan luar negara terutama sekali Timur Tengah serta pilihanraya di Malaysia.
 
Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman lahir di Padang Rengas, Perak. Pada tahun 1978, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dengan pengkhususan dalam bidang Sejarah. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (MA) pada tahun 1985 di School of Oriental and African Studies, University of London, United Kingdom dengan pengkhususan dalam bidang Sejarah dan Politik Timur Tengah. Beliau kemudiannya memperoleh ljazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Edinburgh, United Kingdom pada tahun 1994.
 
Beliau mula dilantik menjadi Presiden dan Naib Canselor UNISEL ketujuh pada 1 Januari 2016 sehingga kini. Sepanjang menerajui UNISEL, beliau telah memperkenalkan tagline “Peneraju Transformasi” yang menjadi sinergi kepada UNISEL sebagai universiti yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.
 
Beliau juga telah dilantik menjadi Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Ahli Lembaga Pengarah UNISEL Sdn. Bhd, Ahli Lembaga Pengarah Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS), Ahli Lembaga Penasihat Editorial (EAB) Communication Corporation Sdn. Bhd, Ahli Panel Majlis Perundingan Islam (MPI), Anggota Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar (Consultative Council on Foreign Policy) di bawah Kementerian Luar Negeri (2019) dan Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, Jabatan Perdana Menteri, (2019).
 
Malah beliau juga dilantik sebagai Ahli Panel Jawatankuasa Pemilihan Calon Pesuruhjaya Manusia yang Baharu dalam Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Kerjasama Islam (IPHRC OIC) (2019-2022), Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, Pengerusi Yayasan Penataran IImu, Pengerusi Yayasan Sofa dan Ahli Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan, Akademi Kenegaraan, Pejabat Perdana Menteri (2024-2026).
 
Bagi pihak pengurusan serta seluruh warga Universiti; Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, di atas penganugerahan gelaran “Profesor Emeritus”. Semoga penganugerahan ini akan menjadi nilai tambah untuk membawa UNISEL ke arah kecemerlangan dan terus berdaya saing.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
1 Disember 2024

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor