DUA PASANGAN KEMBAR KONVO BERSAMA-SAMA DI ISTIADAT KONVOKESYEN UNISEL

  • Home
  • DUA PASANGAN KEMBAR KONVO BERSAMA-SAMA DI ISTIADAT KONVOKESYEN UNISEL
Shape
DUA PASANGAN KEMBAR KONVO BERSAMA-SAMA DI ISTIADAT KONVOKESYEN UNISEL

Dua pasangan kembar berkongsi detik gembira apabila mereka berjaya menamatkan pengajian dan menerima diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya.
 
Adam Haziman Haziq Badrul Hisham dan kembarnya, Adam Hamizan Haziq, meluahkan rasa syukur apabila dapat meraikan kejayaan besar ini bersama. Kedua-duanya merupakan graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) dan turut disaksikan oleh ibu bapa mereka yang hadir pada hari penuh bermakna tersebut.
 
“Kami berdua sangat gembira kerana ibu bapa dapat bersama-sama kami dalam meraikan hari bahagia ini. Kenangan belajar bersama rakan-rakan di UNISEL serta persahabatan yang utuh akan terus diingati sepanjang hayat,” kata Adam Haziman ketika ditemui selepas majlis tersebut.
 
Sementara itu, Noor Hidayah Binti Zakaria dan kembarnya Noor Syakinah, juga graduan DPAKK turut berkongsi kegembiraan kerana mereka juga menamatkan pengajian di UNISEL. Noor Hidayah mendedahkan bahawa keputusan untuk melanjutkan pengajian di UNISEL adalah kerana universiti ini dilihat setanding dengan universiti awam lain di Malaysia.
 
“UNISEL menawarkan persekitaran yang sangat berdaya saing dan kami gembira dapat belajar di sini. Pengalaman kami terlibat dalam Kelab SISPA dan Citra Seni UNISEL (CSU) memberi banyak manfaat, selain menambah kenangan manis sepanjang pengajian kerana kami berpeluang mengenali ramai rakan baru serta menimba pengalaman yang tidak ternilai,” kata Noor Syakinah.
 
Sebagai pesanan kepada rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi lain, Noor Hidayah menekankan kepentingan untuk terus berusaha tanpa mengira cabaran.
 
“Jangan pernah berputus asa. Semua orang ada kemampuan masing-masing, tetapi yang penting adalah usaha. Usaha kita yang bakal menentukan hasil kejayaan,” katanya.
 
Istiadat Konvokesyen UNISEL Kali Ke-18 menyaksikan seramai 2555 graduan bergraduat merangkumi 394 graduan yang mengikuti peringkat Tahun Asas, 965 graduan peringkat Diploma, 1138 graduan peringkat ljazah Sarjana Muda, 31 graduan peringkat Ijazah Sarjana, 27 graduan peringkat Kedoktoran. Istiadat penuh warna-warni dan gilang-gemilang ini berlangsung selama dua hari pada 21 dan 22 September 2024.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
22 September 2024

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor