Program Safe, Heal, Empower, & Strength Beri Kesedaran Tentang Hak Wanita

  • Home
  • Program Safe, Heal, Empower, & Strength Beri Kesedaran Tentang Hak Wanita
Shape

Majlis Prihatin Wanita UNISEL (MAWAR) dengan kerjasama Kelab Psikologi Industri di bawah Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial pada hari ini menganjurkan program bertajuk ‘Safe, Heal, Empower and Strength’ (SHES)

Program yang berlangsung di Auditorium Za’ba, UNISEL Kampus Bestari Jaya itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada semua pihak akan kepentingan hak wanita serta kupasan isu penindasan dan diskriminasi yang perlu diatasi.

Slot perkongsian ilmu bertajuk “Wacana Belia Wanita” yang disampaikan oleh Dr. Sharifah Syahira dan ceramah “Peranan Wanita Muslimah di Era Globalisasi” yang disampaikan oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki kedua-duanya mengupas isu berkenaan peranan dan hak wanita di masa kini.

Menurut YB Puan Rozana Zainal Abidin, Ahli Dewan Negeri Permatang, program ini merupakan satu platform yang baik untuk memberi kesedaran kepada kaum wanita selain membuka ruang kepada mereka untuk terus maju ke hadapan.

Beliau yang hadir merasmikan program tersebut juga berharap agar kaum wanita dapat memainkan peranan yang penting dalam setiap perkara dan harus berani berusaha untuk terus maju ke hadapan.

Hadir sama pada program tersebut adalah Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri), pensyarah -pensyarah serta pelajar dari Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial.

HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor