
WASPADA BANJIR | UNISEL KAMPUS BESTARI JAYA
November 19, 2026Universiti Selangor (UNISEL) hari ini mengadakan Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Sesi November 2026 sebagai simbolik penerimaan rasmi pelajar baharu sebagai sebahagian daripada keluarga besar Universiti Selangor.
Majlis yang berlangsung di kedua-dua kampus, Bestari Jaya dan Shah Alam ini merupakan antara pengisian Minggu Tekad Siswa Budiman (MTSB) yang dianjurkan khusus bagi menyambut kehadiran mahasiswa dan mahasiswi baharu yang telah mendaftar.
Bertemakan “Budi Disemai, Perpaduan Dituai”, pengambilan kali ini membawa mesej bahawa nilai budi pekerti, adab, hormat-menghormati dan semangat perpaduan merupakan asas penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keperibadian dan jati diri yang unggul.
Program MTSB yang berlangsung selama tiga (3) hari ini menjadi platform kepada mahasiswa baharu untuk mengenali persekitaran kampus, membina jaringan persahabatan serta menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai warga UNISEL. Program ini turut dikendalikan oleh barisan Fasilitator MTS Budiman di bawah Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti.
Turut hadir menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Sesi November 2026 oleh YBhg. Prof Madya Dr Hamdan Bin Dato’ Haji Mohd Salleh, Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti).
Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan menjadikan nilai budi, adab dan perpaduan sebagai pegangan dalam menempuh perjalanan sebagai seorang mahasiswa. Beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa menghormati perbezaan, mengamalkan sikap saling membantu serta memanfaatkan peluang sepanjang berada di universiti untuk membentuk diri menjadi insan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Majlis diteruskan dengan lafaz Ikrar Mahasiswa dan Mahasiswi Baharu sebagai simbolik penerimaan amanah serta komitmen untuk menghayati nilai dan prinsip sebagai warga UNISEL. Lafaz ikrar ini turut melambangkan kesediaan mahasiswa baharu untuk bersama-sama menjunjung nama baik universiti, mengamalkan nilai murni serta menyumbang kepada keharmonian dan perpaduan dalam komuniti kampus.
Selamat datang dan selamat memulakan perjalanan baharu kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi baharu UNISEL. Semoga setiap langkah yang diatur menjadi permulaan kepada sebuah perjalanan ilmu yang bermakna dan penuh kejayaan.
ᴊᴀʙᴀᴛᴀɴ ᴋᴏᴍᴜɴɪᴋᴀꜱɪ ᴋᴏʀᴘᴏʀᴀᴛ
ᴜɴɪᴠᴇʀꜱɪᴛɪ ꜱᴇʟᴀɴɢᴏʀ
































