
SAF 2026 PENTAS WACANA PEMIKIRAN SIDDIQ FADZIL & GAGASAN NEGARA MADANI
October 7, 2026
KUNJUNGAN HORMAT UNISEL KE MEDIA SELANGOR TEROKAI KERJASAMA DUA HALA
October 8, 2026GUANGXI, CHINA – Universiti Selangor (UNISEL) terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa menerusi pemeteraian kerjasama strategik bersama tiga institusi pengajian tinggi di Guangxi, China, sebagai langkah memperkukuh pembangunan akademik, penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.
Tiga universiti yang terlibat ialah Guangxi Minzu University, Nanning Vocational and Technical University dan Guilin University of Technology.
Majlis menandatangani kerjasama tersebut diketuai oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL, YBhg. Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan bin Basri, bersama delegasi pengurusan universiti iaitu Dr. Intan Faraha A. Ghani, Pengarah Centre for Commercialization and Industrial Linkages (CCIL), Prof. Madya Dr. Hashimah Ismail, Pengarah Jabatan Antarabangsa serta Dr. Mokhtazul Haizad, Dekan Fakulti Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (FSTE).
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada bidang pertanian dan akuakultur pintar (Smart Agriculture & Aquaculture), Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI), Bioteknologi (Biotechnology) serta Kejuruteraan (Engineering).
Antara skop kerjasama yang bakal diteroka termasuk pelaksanaan penyelidikan bersama, mobiliti akademik, pembangunan bakat dan pemindahan teknologi bagi memperkukuh keupayaan institusi serta meningkatkan pendedahan antarabangsa dalam kalangan warga universiti.
Pemeteraian kerjasama ini turut membuka ruang ke arah merealisasikan aspirasi Selangor–Nanning Twin University Initiative, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi di Selangor dan China.
Inisiatif ini selaras dengan komitmen UNISEL untuk memperkasakan agenda pengantarabangsaan universiti serta memastikan setiap kerjasama yang dimeterai dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan dan hasil yang memberi manfaat kepada universiti, industri serta masyarakat.
From MoC to Impact | UNISEL Creating Impact
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
8 Oktober 2026





















