
MOBILITI ANTARABANGSA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK UNISEL DAN UNISEL INDONESIA
July 8, 2026
UNISEL RAIH GERAN PENYELIDIKAN GET KPT : PERKUKUH KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN BERIMPAK TINGGI
July 10, 2026BESTARI JAYA, 9 Julai 2026 – Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS), Universiti Selangor (UNISEL) telah berjaya menganjurkan Program Pameran dan Pertandingan Inovasi I-TAFHIM 2026 yang berlangsung di Dewan Naib Canselor, Kampus Bestari Jaya.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pn. Nurrul Huwaina binti Ridzuan Lotfi, Timbalan Dekan Pemasaran dan Pembangunan Pelajar, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS), UNISEL.
Penganjuran program ini merupakan inisiatif Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh budaya inovasi serta memperluaskan kefahaman terhadap ilmu dan amalan Islam melalui pendekatan yang interaktif, sekali gus menjadi platform perkongsian ilmu antara institusi pendidikan dan agensi luar.
Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Pusat Islam UNISEL, Telaga Biru Sdn. Bhd., Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Hospital Al-Islam yang diwakili oleh Ustazah Nurul Aisyah binti Amir Ramli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Wasiyyah Shoppe Berhad yang diwakili oleh Pn. Nor Zazilah Abdul Samat.
Antara objektif utama penganjuran program adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap ilmu dan amalan Islam melalui pelbagai pengisian ilmiah serta pameran yang disediakan. Selain itu, program ini turut bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara universiti dengan agensi kerajaan, badan korporat dan organisasi luar, di samping memberi pendedahan kepada warga kampus mengenai perkhidmatan serta produk berteraskan Islam yang bermanfaat dalam kehidupan seharian.
Program ini melibatkan penyertaan warga Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS), mahasiswa dan mahasiswi Jabatan Pengajian Islam (JPI) UNISEL serta wakil daripada agensi dan syarikat yang menjayakan program tersebut.
Pelbagai pameran dan pengisian menarik telah diketengahkan sepanjang program berlangsung, antaranya pameran dan jualan buku-buku Islam oleh Telaga Biru Sdn. Bhd., pameran serta ceramah kesihatan dan khidmat nasihat daripada Hospital Al-Islam, pameran berkaitan pensijilan halal dan kesedaran halal oleh JAKIM, selain pameran serta ceramah berkaitan perancangan harta pusaka, hibah dan wasiat yang disampaikan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad.
Penganjuran Program Pameran dan Pertandingan Inovasi I-TAFHIM 2026 diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam menyemarakkan budaya ilmu, inovasi dan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga universiti, di samping memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara UNISEL dengan pelbagai agensi serta industri.
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI SELANGOR
9 JULAI 2026

































