TPM UMUM UNISEL SECARA RASMI DIIKTIRAF SEBAGAI SALAH SEBUAH UNIVERSITI DALAM RANGKAIAN UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA (MTUN)

  • Home
  • TPM UMUM UNISEL SECARA RASMI DIIKTIRAF SEBAGAI SALAH SEBUAH UNIVERSITI DALAM RANGKAIAN UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA (MTUN)
Shape
TPM UMUM UNISEL SECARA RASMI DIIKTIRAF SEBAGAI SALAH SEBUAH UNIVERSITI DALAM RANGKAIAN UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA (MTUN)

Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah hari ini telah mengiktiraf Universiti Selangor (UNISEL) sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
 
“Dengan pengiktirafan ini, UNISEL akan dapat memperluaskan peranannya dalam bidang TVET, sekaligus membuka lebih banyak peluang pembelajaran dan kemahiran untuk anak-anak tempatan,” ujar beliau
Beliau memberi pengiktirafan tersebut semasa merasmikan Majlis Penutup Jelajah Hari Terbuka “Malaysia MADANI, UNISEL Depani” dan Kelapa Festival Bagan Datuk 2024 dengan kerjasama Parlimen Bagan Datuk yang berlangsung di Waterfront Bagan Datuk, Perak.
 
Jelajah ini merupakan salah satu pendekatan yang di bawa oleh UNISEL untuk menyantuni masyarakat khususnya penduduk di sekitar Bagan Datuk. Sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi milik penuh kerajaan negeri Selangor, sudah menjadi tuntutan buat UNISEL untuk memberi fokus kepada usaha membina masyarakat yang berkualiti tinggi menerusi pendidikan.
 
Usaha ini turut meliputi kewajipan dalam membentuk mahasiswa menjadi graduan yang berwibawa dan juga pembangunan masyarakat melalui aktiviti berteraskan pendidikan melalui program tanggungjawab sosial korporat.
 
Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau amat menyokong usaha ini, selari dengan matlamatnya untuk menjadikan Bagan Datuk sebagai hab pendidikan yang akan membuka lebih banyak peluang kepada warga setempat.
 
Malah beliau juga telah meluluskan penajaan tambahan kepada pihak UNISEL sebanyak RM200 ribu sebagai insentif Jelajah Hari Terbuka “Malaysia MADANI, UNISEL Depani” yang sedang berlangsung ini.
 
UNISEL turut mengambil langkah proaktif dengan membuka reruai dengan pelbagai tawaran pendidikan menarik bagi memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat institusi pendidikan ini dan juga saringan kesihatan percuma dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk.
 
Jelajah ini merupakan kesinambungan kepada Jelajah Hari Terbuka UNISEL “Malaysia MADANI, UNISEL Depani” yang berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober 2023 bertempat di Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat dan di Tanjong Karang pada 28 hingga 30 Jun 2024.
 
Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diacukepada enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan adalah sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
 
Hadir semasa majlis adalah Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Dato’ Nurulhidayah Ahmad Zahid, Pengarah Bersama Jelajah Hari Terbuka, YB Dato’ Shahrul Zaman Yahya, ADUN Rungkup, YB Puan Wasanthee Sinnasamy, ADUN Hutan Melintang dan Encik Muhamad Ghopran Yeop Hamzah, Pegawai Daerah Bagan Datuk.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
6 Oktober 2024

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor