Satu syarahan ilmiah berprestij dan forum kenegaraan telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, dengan menampilkan tokoh-tokoh akademik dan kenegaraan terkemuka negara.
Acara utama dimulakan dengan Syarahan Profesor Emeritus yang disampaikan oleh YB Senator Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL). Dalam syarahan beliau, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan menekankan peri pentingnya keilmuan dan ketokohan akademik dalam memahami serta mencari penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan global, terutamanya yang sedang melanda Palestin. Beliau turut mengupas peranan institusi pendidikan tinggi dan pendekatan Malaysia Madani dalam memperkukuh solidariti serta nilai kemanusiaan sejagat.
Forum kenegaraan bertajuk “Mencari Makna Kemanusiaan di Sebalik Konflik Palestin: Krisis Kemanusiaan di Palestin – Pengukuhan Kenegaraan Melalui Aspirasi Malaysia Madani” kemudiannya berlangsung dengan penuh wacana kritis dan pencerahan intelektual.
Antara ahli panel yang turut berkongsi pandangan dalam forum tersebut ialah Dato’ Haji Roslan Hussin, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, yang menekankan pentingnya pembinaan jati diri nasional yang sejajar dengan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.
Selain itu Profesor Madya Datuk Dr. Zulkanain Abdul Rahman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, yang mengupas kepentingan pendidikan sivik dan kesedaran politik dalam membentuk masyarakat prihatin terhadap isu Palestin.
Turut bersama adalah Profesor Madya Dr. Abu Hanifah Haris, Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, yang mengaitkan konflik Palestin dengan dimensi sejarah penjajahan serta impaknya terhadap identiti dan kelangsungan negara-bangsa.
Para hadirin, yang terdiri daripada pelajar dari UM dan UNISEL, pensyarah, dan wakil agensi kerajaan serta rakan media, turut mengambil bahagian dalam sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif. Forum ini diharap dapat membuka ruang diskusi yang lebih luas dalam kalangan masyarakat akademik dan pembuat dasar untuk terus memperjuangkan nilai kemanusiaan, keadilan dan kedamaian sejagat, selari dengan semangat Malaysia Madani.
Acara berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada para penceramah serta sesi fotografi kenang-kenangan.
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
11 Jun 2025