SAMBUTAN TAHUN BARU CINA UNISEL PUPUK SEMANGAT PERPADUAN

  • Home
  • SAMBUTAN TAHUN BARU CINA UNISEL PUPUK SEMANGAT PERPADUAN
Shape

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakatnya yang berbilang kaum selain berbeza dari segi budaya dan agama. Sudah menjadi satu kelaziman buat seluruh rakyat negara ini merayakan pelbagai sambutan bagi meraikan kesepaduan bersama.

Bagi mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan pelajar, Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Persatuan Kelab Bahasa Mandarin (UNIMAND) mengadakan Sambutan Tahun Baharu Cina bertempat di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Program yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor itu dirasmikan oleh YB Waytha Moorthy Ponnusamy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial).

Menurut beliau, program ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam usaha untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan pemimpin dan pelajar dari pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Tambah beliau lagi, program kebudayaan di universiti amat penting kerana ia bukan sahaja dapat membantu pelajar untuk memahami budaya kaum lain malah ia dapat memupuk sifat hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk.

Bagi Prof. Dr. Mohd Nor Nawawi, Timbalan Naib Canselor UNISEL, beliau menyifatkan program ini sebagai satu kolaberasi mantap bagi mewujudkan semangan bersatu padu disamping mengekalkan prinsip rukun negara sebagai asas pegangan hidup rakyat Malaysia.

Tambah beliau lagi, usaha yang cuba diterapkan ini diharap dapat menjadi tunjang utama yang membantu memupuk semangat bersatu-padu dan hormat menghormati terutama sekali dalam kalangan warga UNISEL,” ujar beliau.

Program yang bermula pada jam 8:00 malam itu berakhir kira-kira jam 11:00 malam dihadiri oleh lebih 800 orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UNISEL serta komuniti setempat.

Pelbagai acara yang menonjolkan kepelbagaian kaum menyinari malam tersebut antaranya persembahan tarian singa, tarian zapin, tarian hindi, persembahan nyanyian dan acara pelepasan tanglung sebagai penutup majlis.

Hadir sama adalah YB Puan Rozana Zainal Abidin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang merangkap Ahli Lembaga Pengarah UNISEL, YB Tuan Chua Wei Kiat, ADN Rawang, Tuan Haji Halim Hassan, Pengarah Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional Ibu Pejabat Perpaduan serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor