Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Mekdi Malaysia (McDonald’s Malaysia) telah menganjurkan Program Korban Perdana yang berlangsung dengan jayanya di Pusat Islam, Kampus UNISEL Bestari Jaya hari ini.
Program ini julung kali diadakan sebagai inisiatif memperkukuh amalan ibadah korban serta menyemai semangat kebajikan dan kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat.
Majlis ibadah korban ini melibatkan penyertaan seramai lebih 300 sukarelawan terdiri daripada pelajar, staf UNISEL serta wakil daripada Mekdi Malaysia yang turut membawakan artis tanah air antaranya MK K-Clique, Nana Sheme dan Safwan Nazri untuk mengimarahkan majlis pagi tadi.
Sebanyak dua ekor lembu sumbangan Mekdi Malaysia dan tiga ekor lagi daripada staf UNISEL yang mengambil bahagian telah dikorbankan dan diagihkan kepada golongan asnaf, keluarga B40 serta komuniti sekitar daerah Kuala Selangor.
Presiden dan Naib Canselor UNISEL, YB Senator Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, dalam ucapannya menyatakan penghargaan atas kerjasama bersama Mekdi Malaysia dalam menjayakan program ini.
“Program ini bukan sekadar menjalankan tuntutan ibadah korban, tetapi juga memperlihatkan keprihatinan UNISEL terhadap masyarakat sekeliling. Kami amat menghargai sokongan Mekdi Malaysia yang sudi berganding bahu menjayakan usaha ini,” katanya.
Sepanjang program, turut diadakan aktiviti gotong-royong penyediaan daging korban, 300 pek makanan tengah hari sumbangan Mekdi Malaysia, dan sesi tazkirah ringkas berkaitan hikmah ibadah korban.