UNISEL sekali lagi mencatatkan sejarah kecemerlangan pada hari ini 11 Mac 2025 bersamaan 10 Ramadan 1446 Hijrah apabila Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertua Dewan Negara, YB Senator Dato Awang Bamee Bin Awang Ali Basah, sebagai Ahli Dewan Negara setelah dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Selangor.
Pelantikan sebagai senator di Dewan Negara ini telah diusulkan oleh YB Azmizam bin Zaman Huri, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Darul Ehsan Kawasan N46 Pelabuhan Klang dan disokong oleh YB Dr. Gunaraj A/L R. George Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Darul Ehsan Kawasan N48 Sentosa pada hari Rabu bersamaan 26 Februari 2025.
Pemilihan yang dibuat ini telah disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang bersidang pada hari tersebut. UNISEL ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor yang telah memberikan kepercayaan kepada Presiden dan Naib Canselor untuk menggalas tugas ini.
Semoga dengan pelantikan YB Senator Prof. Emeritus Dato Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai Ahli Dewan Negara selama tiga tahun ini akan dapat dimanfaatkan dengan sumbangan idea yang menyuburkan lagi amalan demokrasi di negara yang tercinta ini.