Universiti Selangor (UNISEL) melakar satu lagi pencapaian penting apabila secara rasmi merasmikan padang sintetik baharu di kampus Bestari Jaya hari ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.
Projek pembinaan padang sintetik ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UNISEL untuk meningkatkan kemudahan sukan dan rekreasi bagi pelajar serta komuniti setempat. Padang ini dilengkapi dengan rumput tiruan berkualiti tinggi, sistem saliran moden, dan pencahayaan stadium yang membolehkan aktiviti sukan dijalankan pada waktu malam.
Presiden dan Naib Canselor UNISEL dalam ucapannya berkata, pembinaan padang ini bukan sahaja memenuhi keperluan sukan universiti, tetapi turut membuka peluang kepada pembangunan bakat pelajar dalam bidang sukan profesional.
“Dengan adanya padang sintetik ini, UNISEL mampu menjadi platform sukan bola sepak setempat sekaligus mengangkat nama universiti dalam arena sukan tanah air,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan perlawanan persahabatan bola sepak antara Pilihan NC dan pasukan pilihan ZA (Dato’ Zainal Abidin Hassan, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM & Lagenda Bola Sepak Tanah Air) serta pertunjukan tarian kebudayaan dan moden oleh Kelab Citra Seni UNISEL.
Perasmian padang sintetik ini dijangka akan memberi impak positif terhadap gaya hidup sihat warga kampus dan menjadikan UNISEL sebagai contoh institusi yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.
UNISEL turut menjemput Lagenda Bola Sepak Negara antaranya Mahali Jasuli, Bekas Pemain Malaysia, Kalamullah Al-Hafiz, Penjaga Gol Selangor FC & Malaysia serta Azfar Arif, Penjaga Gol Sri Pahang FC.
Turut hadir Prof. Madya Dr. Hamdan Bin Dato’ Hj. Mohammad Salleh, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti merangkap Presiden UNISEL FC, En. Ikwaniata Taib, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UNISEL, Staf, Para Pelajar dan komuniti Bestari Jaya.