Pendaftaran Pelajar Baharu Program Asasi Pengambilan Julai 2019

  • Home
  • Pendaftaran Pelajar Baharu Program Asasi Pengambilan Julai 2019
Shape

Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu bagi Program Pengajian Asasi pengambilan Julai 2019 berlangsung dengan jayanya hari ini di Dewan Naib Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya. Kaunter pendaftaran yang mula dibuka pada jam 9 pagi itu dipenuhi dengan pelajar dan ibu bapa yang rata-ratanya datang dari seluruh Malaysia.

Terdapat empat program asasi yang ditawarkan di UNISEL antaranya Asasi Sains, Asasi Teknologi Maklumat, Asasi Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan Asasi Pengurusan. Selain itu, UNISEL turut menawarkan program pengajian trek Huffaz bagi memberi peluang kepada pelajar yang pernah mengikuti aliran tahfiz untuk melanjutkan pengajian di peringkat asasi.

Muhammad Adam Bin Khairuddin, pelajar yang mendaftar bagi program trek Huffaz berkata, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian ke UNISEL kerana adanya satu trek khusus bagi memudahkan beliau untuk terus fokus kepada hafazan. Beliau merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat 9A dan sijil tahfiz (MUMTAZ) semasa berada di SMK Agama Kuala Lumpur.

Lebih menarik lagi, program pengajian asasi di UNISEL turut menawarkan Skim Dermasiswa dimana ianya merupakan satu insentif Kerajaan Negeri Selangor dan UNISEL untuk membuka ruang kepada pelajar seluruh Malaysia untuk mengikuti pengajian secara percuma.

Skim Dermasiswa ini diakui amat komprehensif dan mampu mengurangkan beban pelajar dan keluarga. Ini diakui oleh dua orang sahabat, Sathishsha dan Pooja, yang hadir bersama-sama mendaftar bagi pengajian asasi di UNISEL pada hari ini.

Bagi Yap Xing Fui yang bakal mengikuti pengajian Asasi Sains pula, beliau amat berterima kasih kepada pihak UNISEL kerana sentiasa turun padang untuk memberikan pendedahan dan informasi berkenaan program pengajian di UNISEL.

“Selain dapat berkumpul menyambut Hari Raya Aidilfitri, majlis ini juga merupakan satu platform yang penting untuk mengeratkan lagi tali silaturahim sesama staf di samping menjamah juadah yang telah disediakan”,

ujar beliau.

Justeru itu, buat semua lepasan SPM yang masih tidak berkesempatan untuk berdaftar hari ini, sesi pengambilan Pengajian Asasi Julai 2019 masih dibuka sehingga 9 Ogos 2019. Untuk maklumat lanjut, hubungi Pejabat Pemasaran & Kamasukan di talian 03-55223400 / 012-3401740 / 011-33907681.

HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor