Pendaftaran Pelajar Baharu Kemasukan Ogos 2019

  • Home
  • Pendaftaran Pelajar Baharu Kemasukan Ogos 2019
Shape

Pendaftaran Pelajar Baharu Universiti Selangor (UNISEL) bagi kemasukan Ogos 2019 dibanjiri oleh para ibu bapa dan pelajar baharu. Majlis yang bermula pada jam 8.30 pagi itu berlangsung di Dewan Canselor, kampus Bestari Jaya UNISEL.

Rata-rata pelajar baharu yang mendaftar pada hari ini amat gembira dan bersemangat bergelar mahasiswa baharu UNISEL. Bagi Nur Diyana Aqilla Anuar, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di UNISEL kerana lokasi yang hampir dengan rumah disamping dapat bersama-sama adiknya Nur Liyana Shasha Anuar yang turut mendaftar pada hari ini.

“Kami amat bersemangat untuk menempuh cabaran baharu sebagai mahasiswa UNISEL. Dalam pada itu kami juga berharap dapat merealisasikan harapan kedua ibu-bapa kami yang mahu melihat kami bergelar seorang guru pada suatu hari nanti,” ujar pasangan adik-beradik yang berasal daripada Petaling Jaya.

Nur Diyana Aqilla merupakan mahasiswa baharu bagi program Sarjana Muda Pendidikan manakala Nur Liyana Shasha pula merupakan mahasiswa baharu bagi program Diploma Pendidikan (Pengajian Pra Sekolah).

Berbeza pula bagi Puan Vimaladewi Subramaniam, beliau amat tertarik dengan kemudahan kolej kediaman yang disedikan kepada para pelajar. Sebagai seorang ibu yang amat menitikberatkan soal keselesaan anaknya, beliau amat berpuas hati dengan fasiliti di UNISEL dan yakin ini dapat memberi keselesaan buat anaknya, Vikhraman A/L Diyagesan yang mengambil program Grafik Digital.

Bagi Nur Athirah Jumaat, beliau memilih UNISEL kerana yakin dengan kredibiliti UNISEL sebagai sebuat pusat pengajian terbaik di Malaysia. Beliau merupakan lepasan program Tahun Asas di UNISEL dan kini bakal melanjutkan pengajian menerusi program Ijazah Sarjana Muda TESL.

Dalam pada itu, Nur Athirah yang hadir bersama adiknya yang turut mendaftar sebagai mahasiswa UNISEL pada hari ini menyeru agar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia memilih UNISEL kerana pelbagai kemudahan tersedia termasuklah bantuan kewangan seperti Skim Dermasiswa.

Justeru itu, buat bakal pelajar di luar sana yang berminat untuk menyambung pengajian di UNISEL, tarikh pendaftaran pelajar baharu pengambilan Ogos 2019 akan dilanjutkan bermula hari ini sehingga 30 Ogos 2019. Pelajar yang berminat boleh datang secara terus ke kampus pengajian di Shah Alam dan Bestari Jaya. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pejabat Pemasaran & Kamasukan di talian 03-55223400 / 012-3401740 / 014-8172198.

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor