“Di zaman yang penuh dengan teknologi ini, kita berdepan dengan satu cabaran yang amat luar biasa. Minat membaca dalam kalangan kanak-kanak bukan lagi dilihat sebagai suatu kebiasaan kerana mereka diajar untuk menggunakan gadjet seawal usia satu tahun. Oleh yang demikian, saya melihat kerjasama di antara Universiti Selangor (UNISEL) dengan Majlis Buku Kanak-Kanak Dan Remaja Malaysia (MBBY) Malaysia ini sebagai satu pendekatan baharu yang dapat menarik minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja”, ujar Prof. Dato Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL. Beliau ditemui semasa Majlis Pelancaran Katalog Buku Terpilih IBBY Malaysia yang dianjurkan oleh Perpustakaan UNISEL dengan kerjasama MBBY yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, UNISEL Kampus Shah Alam. Tambah beliau lagi, generasi alaf baharu banyak bergantung kepada gadjet dan aplikasi berbanding kecenderungan terhadap aktiviti seperti membaca buku dan ini menjadi tugas yang besar kepada golongan dewasa untuk memupuk kembali minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja masa kini. Menurut Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Presiden MBBY, beliau berasa amat bangga kerana buku kanak-kanak dan remaja di Malaysia tersenarai sekali lagi di peringkat antarabangsa iaitu ‘IBBY Honour List’ yang diadakan setiap dua tahun. Ini menjadi bukti bahawa industri ini berjaya menghasilkan buku-buku yang berkualiti kepada kanak-kanak dan remaja dan disenaraikan bersama buku-buku terbaik dari negara-negara lain dari seluruh dunia. “Pada tahun ini kita mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penerbit, pengarang dan illustrator. Dengan jumlah buku yang amat besar yang dihantar kepada juri untuk dinilai, kita berharap agar senarai pendek buku-buku yang dihantar ke peringkat antarabangsa ini mendapat pengiktirafan sebagai buku terbaik,” ujar beliau. Majlis pada hari ini juga meraikan tiga pemenang bagi Sijil Kepujian Buku Terbaik IBBY Malaysia 2021 yang mana telah disenaraikan sebagai calon Malaysia yang akan dibawa ke peringkat antarabangsa iaitu buku berjudul Gemilangnya Putrajaya/Magnificient Putrajaya, Tuty the Turtle dan Anak Murid yang Memakai Kain Cawat. Dalam pada itu, turut berlangsung Majlis Penyampaian Koleksi Buku Terpilih 2021 yang disampaikan oleh Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin mewakili MBBY kepada Prof. Dato Dr. Mohammad Redzuan Othman bagi pihak UNISEL. Hadir sama memeriahkan majlis adalah Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri) merangkap Ketua Juri Buku Terpilih IBBY Malaysia, pengarang dan penerbit buku-buku terpilih serta pengurusan tertinggi UNISEL. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi Korporat
Previous
Next
© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor