MAJLIS PENGHARGAAN DAN PENYERAHAN KOLEKSI BUKU PERPUSTAKAAN PERINGATAN SIDDIQ FADZIL

  • Home
  • MAJLIS PENGHARGAAN DAN PENYERAHAN KOLEKSI BUKU PERPUSTAKAAN PERINGATAN SIDDIQ FADZIL
Shape
MAJLIS PENGHARGAAN DAN PENYERAHAN KOLEKSI BUKU PERPUSTAKAAN PERINGATAN SIDDIQ FADZIL
Universiti Selangor (UNISEL) hari ini mengadakan Majlis Penghargaan dan Penyerahan Koleksi Buku Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil yang berlangsung penuh tertib dan bermakna di Perpustakaan UNISEL Kampus Bestari Jaya.
 
Majlis tersebut diadakan sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan intelektual Almarhum Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, tokoh pemikir Islam dan pejuang dakwah tanah air yang disegani. Koleksi buku yang disumbangkan akan menjadi sebahagian daripada Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil, sebuah inisiatif khas UNISEL untuk memelihara dan menyebarluaskan khazanah ilmu peninggalan beliau kepada generasi akan datang.
 
YB Senator Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa perpustakaan ini bukan sahaja menjadi simbol penghormatan terhadap Almarhum Siddiq Fadzil, malah menjadi wadah penting untuk membentuk wacana ilmu yang kritis dan progresif dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat umum.
 
“Sumbangan pemikiran Almarhum dalam dunia intelektual Melayu-Islam sangat luar biasa. Justeru, UNISEL komited untuk memastikan karya dan pemikiran beliau terus hidup dan dimanfaatkan,” ujar beliau penuh penghargaan.
 
Majlis turut diserikan dengan sesi penyerahan koleksi buku yang telah disumbangkan kepada perpustakaan tersebut oleh dua tokoh ilmuwan tersohor, Prof. Dr. Mohd Nor Nawawi dan Encik Hasrom Harun. Kedua-dua tokoh ini telah menyumbangkan sebahagian besar koleksi peribadi mereka yang mengandungi karya-karya pemikiran Islam, falsafah, sastera, dan sejarah sejajar dengan nilai-nilai ilmu yang diperjuangkan oleh Almarhum Siddiq Fadzil.
 
Dalam perkongsian ringkas mereka, Prof. Dr. Mohd Nor Nawawi menyatakan bahawa penyumbangan ini adalah satu usaha untuk “menghidupkan semula tradisi keilmuan yang mendalam dan mencerahkan masyarakat”, manakala Encik Hasrom Harun menekankan kepentingan pemeliharaan warisan pemikiran dalam mendepani cabaran zaman moden.
 
Majlis yang turut dihadiri oleh ahli akademik, mahasiswa dan tetamu-tetamu undangan ini diakhiri dengan lawatan ke ruang khas Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil, yang kini menempatkan pelbagai hasil sumbangan pelbagai pihak.
 
Dengan terbinanya perpustakaan ini, UNISEL meletakkan satu lagi batu asas penting dalam memartabatkan warisan keilmuan dan membina generasi pelajar yang berfikrah, kritis dan bertunjangkan nilai.
 
13 Jun 2025
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn