Majlis Ikrar Pelajar Baharu Ogos 2019

  • Home
  • Majlis Ikrar Pelajar Baharu Ogos 2019
Shape

Minggu Tekad Siswa Budiman bagi pelajar baharu kemasukan Ogos 2019 yang bermula pada 17 Ogos 2019 telah melabuhkan tirainya hari ini di Dewan Canselor, kampus Bestari Jaya.

Program yang berlangsung selama empat hari itu merupakan minggu suai kenal antara pelajar-pelajar baharu yang telah dikelolai sepenuhnya oleh Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Universiti Selangor (UNISEL).

Prof Dato Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam ucaptamanya berkata beliau amat berterima kasih terhadap kepercayaan yang telah diberikan oleh para pelajar serta ibu bapa yang telah memilih UNISEL sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

“Saya percaya UNISEL menjadi pilihan para pelajar kerana keyakinan terhadap kebolehan UNISEL dapat membentuk kecemerlangan kepada para pelajar. UNISEL juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing dan ini merupakan faktor utama kecenderungan keberjayaan setiap pelajar”,

ujar beliau.

Tambah beliau lagi, Minggu Tekad Siswa Budiman kali ini mengutamakan tiga elemen penting iaitu budi bahasa, budi bicara, dan budi pekerti. Dengan elemen-elemen ini diharapkan agar setiap pelajar dapat memperkasakan sahsiah diri supaya menjadi seorang yang berketerampilan tinggi pada masa hadapan.

Di akhir majlis, para pelajar baharu bersama-sama melafazkan ikrar dengan penuh semangat dan mengakhiri dengan azam baharu sebagai mahasiswa-mahasiswi Universiti Selangor (UNISEL).

Justeru itu, buat bakal pelajar di luar sana yang berminat untuk menyambung pengajian di UNISEL, tarikh pendaftaran pelajar baharu pengambilan Ogos 2019 akan dilanjutkan sehingga 30 Ogos 2019. Pelajar yang berminat boleh datang secara terus ke kampus pengajian di Shah Alam dan Bestari Jaya. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pejabat Pemasaran & Kemasukan di talian 03-55223400 / 012-3401740 / 014-8172198.

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor