Minggu Tekad Siswa Budiman (MTSB) bagi pelajar baharu kemasukan November 2024 yang telah bermula pada 14 hingga 16 November lalu diakhiri dengan Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya.
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam ucaptamanya berkata, beliau amat berterima kasih terhadap kepercayaan yang telah diberikan oleh para pelajar serta ibu bapa yang telah memilih UNISEL sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.
“Dalam konteks universiti, UNISEL mempunyai tenaga profesional dan staf yang komited bagi membimbing dan mendidik hingga keberjayaan setiap pelajar dikecapi”, ujar beliau.
Tambah beliau lagi, dengan rasminya anda bergelar mahasiswa mahasiswi UNISEL hari ini, sudah pasti ikrar yang dilafazkan membawa pengertian besar. Oleh itu, pastikan anda membanggakan ibu bapa dan keluarga masing-masing dalam mencapai kejayaan serta perbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik.
Para pelajar baharu bersama-sama melafazkan ‘Ikrar Mahasiswa Mahasiswi Baharu’ yang dipimpin oleh Sdr. Adib Firdaus Bin Zaini dengan penuh keazaman yang tinggi serta simbolik penerimaan pelajar baharu turut disempurnakan oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL.
Pelajar yang berminat boleh terus mendaftar di apply.unisel.edu.my. Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang rasmi universiti di www.unisel.edu.my atau berhubung terus dengan Pejabat Pemasaran & Kemasukan di talian 03-3280 5062 (Bestari Jaya) & 03-5522 3400 (Shah Alam).