Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) semalam hadir meraikan kakitangan dan keluarga dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya. Program Iftar Perdana 1444H/2023 tersebut dihadiri oleh lebih 800 kakitangan, keluarga dan pelajar dari kampus Bestari Jaya dan Shah Alam. Program Iftar Perdana ini merupakan acara tahunan universiti yang diadakan setiap kali menjelangnya bulan Ramadan. Dalam masa yang sama, program ini juga menerapkan elemen kekeluargaan selain untuk merapatkan lagi hubungan dalam kalangan warga universiti. Lebih menarik, program ini turut disertai oleh sebilangan kakitangan dan pelajar yang bukan beragama Islam. Menurut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, tahun ini merupakan tahun yang istimewa kerana program Iftar dapat dijalankan seperti biasa. Beliau turut memuji seluruh warga kakitangan yang berjaya mendepani penularan wabak Covid-19 sejak tiga tahun lepas. “Dengan adanya majlis seperti ini, kita bukan hanya dapat berinteraksi secara santai bahkan dapat mengenali dengan lebih erat terhadap kakitangan berlainan jabatan. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai kebersamaan warga universiti serta ahli keluarga,” ujar beliau. Program Iftar yang bermula pada jam 6.00 petang itu disemarakkan dengan tazkirah ringkas oleh Ustaz Ab. Razak Aripin, Pengarah Pusat Islam UNISEL kemudiannya diteruskan dengan majlis berbuka puasa disusuli dengan solat terawikh berjemaah. Program berakhir dengan majlis sumbangan kepada kakitangan yang berkelayakan dari kalangan asnaf. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi KorporatUniversiti Selangor2 April 2023
Previous
Next
© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor