Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Fakulti Perniagaan & Perakaunan (FBA) serta Perpustakaan Unisel mengadakan satu forum isu semasa bertajuk “Tarif dan Perang Perdagangan : Peluang Atau Ancaman?”. Program tersebut berlangsung di LT2, UNISEL Kampus Shah Alam hari ini.
Forum tersebut menampilkan Prof. Dr. Susela Devi K. Suppiah, Profesor Kehormat FBA Unisel sebagai panel pertama dan Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya sebagai panel kedua.
Manakala Dr. Zainal Hasfi Hashim, Profesor Adjung FBA Unisel pula merupakan panel ketiga forum hari ini yang dimoderatorkan oleh Prof. Dr. Norhayah Zulkifli, Dekan FBA Unisel.
Antara intipati forum tersebut meliputi aspek pemahaman krisis tarif global berpunca daripada ketegangan perdagangan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China yang terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara membangun termasuk Malaysia.
Sesi perbincangan forum tersebut diakhiri dengan soal jawab bersama penonton yang hadir dikalangan pensyarah dan pelajar mahupun ruang komen menerusi Facebook Universiti Selangor.
Hadir sama adalah YB Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL selaku ucaptama penutup forum, barisan pengurusan tertinggi UNISEL, pensyarah serta pelajar Universiti Selangor.