FCVAC UNISEL ANJUR PROGRAM MARTABATKAN TEKNOLOGI BERLANDASKAN IR4.0

  • Home
  • FCVAC UNISEL ANJUR PROGRAM MARTABATKAN TEKNOLOGI BERLANDASKAN IR4.0
Shape

Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengadakan rangkuman tiga program iaitu ICTBC 2019, ICT WEEK 2020 dan CETUS 2020 bertempat di Jabatan Seni Visual, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Selaras dengan usaha memartabatkan perkembangan teknologi semasa, program yang berpaksikan “Ke Arah Revolusi Industri 4.0” tersebut mempamerkan beberapa penyelidikan, karya serta hasil produk pelajar tahun akhir program di bawah Jabatan Seni Visual FCVAC.

Turut serta dalam pameran tersebut adalah wakil dari Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), SMK (A) Tun Rahah, SAM Paya Jaras, SMK Tiram Jaya dan Sekolah Menengah Islam Integrasi Pintar Saujana Utama.

Menurut Puan Fazlina Hashim, Setiausaha Bahagian BPM, beliau menyifatkan program ini sebagai satu platform terbaik buat pelajar dan penyelidik untuk mempromosikan hasil produk mereka. Disamping itu, program ini juga membuka peluang mengenalpasti produk-produk yang boleh diketengahkan dan seterusnya dikomersialkan bagi pasaran dalam negara.

Hadir sama semasa program adalah Prof. Dr. Mohd Nor Nawawi, Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran dan Jaringan Global) UNISEL. Dalam ucapannya, beliau amat yakin program ini dapat menjadi landasan terbaik dalam menggilap potensi pelajar terutama sekali mereka yang berada pada tahun akhir.

“UNISEL berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pakar daripada pelbagai bidang seiring dengan inspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah Negeri Pintar menjelang tahun 2025,” tambah beliau lagi.

Sepanjang program, turut berlangsung adalah satu ceramah bertajuk ‘Cyber Security Awareness Talk’ disampaikan oleh Jazannul Azriq Aripin, Eksekutif Kanan Cyber Security Malaysia serta pameran produk tahun akhir Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran yang mula dipamer hari ini dan berakhir pada 20 Februari 2020.

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor