Biasiswa Bestari Manfaatkan Pelajar Sekitar Dun Ijok Dan Permatang

  • Home
  • Biasiswa Bestari Manfaatkan Pelajar Sekitar Dun Ijok Dan Permatang
Shape

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) pada hari ini menyerahkan Biasiswa Bestari kepada 20 orang penerima pertama bagi tahun ini.

Majlis Penyerahan Biasiswa Bestari tersebut berlangsung di Dewan Senat, UNISEL Bestari Jaya yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Dr. Idris Bin Ahmad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok dan Yang Berhormat Puan Rozana Binti Zainal Abidin, ADN Permatang.

Biasiswa Bestari merupakan salah satu inisiatif baharu daripada pihak universiti bagi membantu pelajar-pelajar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dan Permatang melanjutkan pengajian peringkat tertinggi di UNISEL.

Menurut YB Dr. Idris Bin Ahmad, beliau menyifatkan biasiswa ini sebagai salah satu usaha yang amat baik terutama sekali kepada pelajar-pelajar sekitar Ijok di mana pelajar-pelajar ini berpeluang melanjutkan pelajar di peringkat universiti dan menjadi penggerak kepada masa hadapan negara.

Bagi YB Rozana Binti Zainal Abidin pula, Biasiswa Bestari ini merupakan salah satu impian beliau dalam usaha untuk menjadikan DUN Permatang sebagai ‘Peri Ilmu’ dan terus maju ke hadapan.

“Tahniah diucapkan kepada kesemua penerima Biasiswa Bestari ini. Jadikanlah platform ini sebagai langkah pertama untuk berjaya dan syabas juga diucapkan kepada UNISEL kerana telah mencetuskan idea biasiswa ini berjaya merialisasikannya”,

ujar beliau lagi.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada kesemua penerima Biasiswa Bestari dan berharap agar para penerima menjadikan ini sebagai satu peluang untuk mengubah diri, keluarga dan negara menjadi lebih berjaya pada masa akan datang.

“Ini juga adalah tanggungjawab dan amanah kepada anda untuk memastikan pada suatu hari kelak anda kembali menjadi penyandang kepada kejayaan lebih-lebih lagi kepada kawasan anda sendiri iaitu Ijok dan Permatang”,

ujar beliau lagi.

Penerima Biasiswa Bestari akan mendapat yuran pendaftaran percuma dan juga pengecualian yuran bagi semester pertama pengajian yang bernilai sehingga lima ribu ringgit.

HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat

© Copyright 2024 UNISEL | Universiti Selangor